|
|
| Monday, 15-Dec-2008 00:02 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Jurugambar Juga Boleh Menyumbang
|
|
Membaca majalah Al Haj wal Umrah, bil. 63 keluaran Ogos 2008, saya tertarik kepada satu artikel tulisan Ahmad Abu Zaid bertajuk Alhaj Bi’uyunil Kamera..Suwar min Al Madhi (Haji Pada Mata (lensa) Kamera..Gambar-gambar Masa Lampau). Artikel ini mengenai seorang pelajar Pakistan yang mengambil gambar semasa musim haji tahun 1372H/1953M. Pelajar yang bernama Abdul Ghafur Sheikh ini asalnya tinggal di Afrika Selatan, bekerja bersama bapanya. Beliau kemudian dihantar bapanya untuk belajar dalam bidang pentadbiran perniagaan di Universiti Harvard.
Sewaktu di Amerika, beliau berazam hendak bermusafir ke Makkah Al Mukarramah bagi mengerjakan ibadah haji pada tahun 1372H/1953M. Walaubagaimanapun beliau tidak mahu perjalanannya itu berlalu begitu sahaja tanpa beliau dapat menyumbang sesuatu buat agama dan aqidahnya. Beliau mahu dunia barat terutamanya Amerika untuk tahu serba sedikit mengenai syiar agama Islam yang suci, iaitu ibadah haji serta apa yang berlaku sewaktu ibadah tersebut dikerjakan, serta keadaan di tanah Hijaz itu sendiri. Untuk itu beliau telah pergi ke pejabat majalah The National Geographic Magazine di Washington dan memberitahu pentadbiran majalah tersebut perancangan beliau untuk mengerjakan ibadah haji, mengambil gambar sepanjang perjalanan ibadah tersebut untuk disiarkan dalam salah satu keluaran majalah tersebut. Pihak majalah telah bersetuju dengan cadangan beliau dan memberikan beliau sebuah kamera kecil berwarna. Abdul Ghafur telah berjaya merakamkan pelbagai gambar yang menarik yang telah disiarkan dalam keluaran Julai 1953 majalah tersebut. Sebelum gambar tersebut disiarkan, Abdul Ghafur telah menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya kepada Putera Faisal bin Abdul Aziz di New York, yang ketika itu menjadi Menteri Luar Arab Saudi serta ketua perwakilan Arab Saudi ke PBB.
Di majalah Al Haj wal Umrah tersebut turut dipaparkan beberapa hasil tangan Abdul Ghafur yang bagi saya amat menarik sekali seperti gambar di Arafah, pembelian binatang ternakan untuk korban, pemandangan Masjidil Haram dan Kaabah pada ketika itu, para jemaah yang memasak sendiri makanan mereka, lapangan terbang Jeddah yang umpama sebuah padang yang tandus, jemaah melontar jamrah dan beberapa gambar lagi. Sesungguhnya gambar-gambar itu menjadi satu rekod sejarah yang amat berharga memandangkan pemandangan seperti itu tidak dapat lagi dilihat pada hari ini kerana persekitaran yang telah berubah. Selain itu dapat kita melihat keadaan perjalanan ibadah haji lebih separuh abad yang lalu.
Abdul Ghafur Sheikh sesungguhnya telah meninggalkan satu warisan yang amat berharga. Dia telah berjasa kepada dunia Islam serta menjalankan kerja dakwah bil hal melalui rakaman gambar. Ini bermakna melalui hobi mengambil gambar ini kita sebenarnya boleh melakukan sesuatu yang amat bermakna kepada agama kita. Justeru buat mereka yang tidak memahami dunia seni seorang jurugambar, anda perlu membuka minda anda dengan lebih luas lagi serta tidak memandang rendah akan kerja mereka. Ramai yang memandang rendah akan perlakuan seorang insan yang sibuk ke sana ke mari mengandar kamera sambil mata liar mencari sudut yang menarik dengan tangan yang pantas memetik punat.
Sesungguhnya saya juga ada cita-cita tinggi untuk agama saya!!
|
|
|
|
|
|
| Tuesday, 9-Dec-2008 00:17 |
Email | Share | | Bookmark |
|
|
|

Alhamdulillah syukur kepada Allah.
Kita baru sahaja meraikan Aidil Adha semalam, bahkan kita masih meraikannya memandangkan hari ini baru hari Tasyriq yang pertama. Sepanjang minggu lepas juga beberapa peristiwa berlaku di negara kita seperti SRK dapat gelaran Datuk, tragedi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa dan kekalahan pasukan bola kebangsaan akibat kecuaian penjaga gol. Saya pun tak mahu komen apa-apa memandangkan liputan mengenainya dah banyak tersiar di akhbar.
Semalam hujan turun seharian membasahi bumi. Ada yang suka dengan hujan dan ada yang tidak. Buat nelayan, suri rumah yang menjemur pakaian, kanak-kanak yang nak bermain bola mungkin tak berapa suka dengan hujan. Namun buat petani, tempat yang sudah lama kemarau, kaum badwi yang tinggal di gurun, hujan mungkin suatu rahmat yang ditunggu-tunggu. Maknanya apa yang baik untuk kita mungkin tidak bagi orang lain dan begitulah juga sebaliknya.
Begitulah juga bila dikaitkan dengan kepimpinan. Seorang pemimpin tidak dapat memenuhi kehendak semua orang. Boss di pejabat tidak mungkin dapat membahagiakan semua kakitangannya. Ada yang suka dengan tindakan boss dan ada yang tidak. Bila tidak suka mulalah ada prasangka yang timbul. Boss tidak betul, boss patut buat begitu begini, boss tidak adil dan sebagainya. Dan mungkin bila boss memenuhi hasrat kita, tindakannya itu akan membawa kedukaan kepada yang lain pula. Apapun cubalah untuk berada dalam situasi menang-menang. Kalau nak puas hati 100% mungkin mustahil, tapi apa yang ada/dapat itu bersyukurlah.
Dan bersyukurlah kita kerana masih lagi hidup, masih dapat makan (walaupun tak berapa mewah), masih ada pakaian untuk menutup aurat (walaupun pakaian itu dah berumur 7-8 tahun), masih ada kenderaan untuk bergerak (walaupun sekadar kenderaan awam)........
Dan bersyukurlah untuk segalanya.

|
|
|
|
|
|
| Friday, 5-Dec-2008 00:03 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Pesanan Buat Diriku Yang Lupa 3
|
|
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurnian-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dan dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Al-Hajj 27-28)
Insya Allah pada hari Isnin depan kita akan sama-sama menyambut Aidil Adha. Tidak seperti Aidil Fitri, kemeriahannya di negara kita agak kurang. Sepatutnya inilah yang lebih meriah kerana sambutannya adalah selama 4 hari (hari Nahar + 3 hari tasyriq) berbanding Aidil Fitri yang cuma sehari sahaja. Perlu diingat sambutan Aidil Fitri oleh masyarakat negara kita ini selama sebulan adalah lebih pada adat dan bukannya syariat. Tidak salah hendak merayakannya selama sebulan namun menganggapnya satu syariat (raya selama sebulan) adalah salah.
Seperti yang kita maklumi, menunaikan haji di Makkah merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Kerinduan kepada Tanah Suci Makkah membuatkan orang kita berjimat sedikit-sedikit mengumpul belanja untuk ke sana. Keriangan serta kesyukuran ke sana dikongsi dengan ramai rakan dan saudara mara dengan mengadakan kenduri doa selamat. Biasanya juga kemaafan dan doa dipinta agar ibadat dilakukan dengan penuh sempurna dan pemergian tanpa dosa setelah diberi kemaafan oleh orang ramai.
Buat bakal haji, jika sebelum ke sana kita pandai meminta ampun dan doa orang ramai, maka ketika pulang janganlah kita sakiti pula orang yang telah kita minta ampun serta minta doakan itu. Jadilah kita lebih baik daripada sebelum mengerjakan haji dahulu. Ini kerana sepanjang mengerjakan ibadah itu tentunya telah banyak yang kita tempuhi yang saya percaya ia sebagai satu persediaan untuk menjadikan kita muslim yang lebih baik lagi. Jadi apabila kepulangan kita tidak disertai sifat mahmudah, tentulah amat malang sekali kerana tiada iktibar yang diambil sepanjang mengerjakan segala manasik haji.
Kesimpulannya, matlamat kita bukan gelaran haji itu, namun keredhaan Allah dan agar segala ibadah itu diterima dan seterusnya mendapat haji yang mabrur.
LabbaikalLahumma labbaik!!
|
|
|
|
|
|
| Wednesday, 3-Dec-2008 00:09 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Hari Keluarga
|
|
Beberapa minggu lalu telah berlansung hari keluarga pejabat saya dengan meriahnya. Sepanjang saya bekerja, inilah kali pertama saya merasai bagaimana suasana hari keluarga. Setelah kejayaan projek membakar lemang pada bulan puasa yang lalu, timbul keinginan pula untuk satu lagi acara mengumpulkan staff bersama. Memandangkan jadual yang sibuk sepanjang Syawal yang tidak memungkinkan kami mengadakan jamuan rumah terbuka satu ketetapan diambil untuk menganjurkan hari keluarga. Saya diminta untuk mempengerusikan jawatankuasa pengajuran majlis ini. Seperti biasa, dana untuk menganjurkan majlis ini dikutip dari kalangan anggota sendiri. Disamping itu untuk menjimatkan belanja kami buat permohonan untuk meminjam khemah dan meja dari Jabatan Kerja Raya. Tempat pula hanya di padang berdekatan dengan pejabat manakala makanan di masak secara gotong royong oleh anggota. Seminggu sebelum majlis ini berlansung saya tidak berada di pejabat kerana bertugas di luar. Namun pujian harus saya berikan kepada semua anggota yang terlibat kerana walaupun tanpa saya, mereka berjaya mengatur kerja dengan baik dan teratur. Walaupun tanpa bajet yang besar dan tempat yang menarik, saya beranggapan ia telah berjalan dengan begitu meriah sekali.
Selain makan-makan beberapa acara sukan telah disediakan untuk kanak-kanak, married man dan orang bujang. Boss besar pun amat sporting dengan mengambil bahagian dalam beberpaa acara bersama isterinya. Isteri saya dengan anak-anak pun ada turut serta dalam beberapa acara permainan. Selain itu cabutan bertuah turut diadakan. Yang menariknya semua staff yang berdaftar mendapat hadiah masing-masing termasuklah yang tidak dapat hadir kerana terpaksa bertugas di laut dan di pejabat pada hari tersebut.
Terima kasih saya sekali lagi buat semua yang terlibat, walaupun tanpa bajet yang besar kita berjaya menghimpunkan staff dan keluarga dalam suasana yang begitu harmoni. Juga terima kasih kepada yang memasak kerana menyediakan hidangan yang cukup menyelerakan. Insya Allah kalau ada rezeki, kita buat lagi nanti.

|
|
|
|
|
|
| Monday, 1-Dec-2008 00:01 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Bila Pergi Berguru
|
|
Dua minggu lalu bro Meorjay mempelawa saya untuk menyertainya mengambil gambar di satu majlis perkahwinan. Maka Sabtu lepas Allah memberikan kelapangan untuk saya menyahut pelawaan beliau. Bertempat di dewan orang ramai Presint 8, Putrajaya, buat pertama kalinya saya bertemu bro Meorjay yang turut disertai anak gadisnya. Sebelum pengantin mula diarak, bro sempat beri saya beberapa panduan mengenai setting kamera yang akan digunakan. Cuma sama ada saya masih blur dengan kamera saya sendiri atau kamera itu sendiri yang banyak kekurangannya maka apa yang di apply pada Nikon mungkin tidak boleh di apply pada Olympus. Yang pastinya saya angkat bendera putih apabila mengambil gambar di dalam dewan yang besar. Hasil di dalam dewan amat mengecewakan sehingga saya rasa kodi sangat pada waktu itu.
Namun apabila mengambil shot di luar, saya agak puas hati sedikit kerana gambar yang terhasil agak baik (pada pandangan mata sendiri) ditambah dengan cuaca cerah dengan langit yang membiru. Kedatangan dua lagi otai semasa kami sedang sibuk mengambil gambar menambahkan lagi rasa kekerdilan diri ini lebih-lebih lagi apabila mereka mengeluarkan kesemua senjata yang ada.
Walau apapun saya perlu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bro Meor yang sudi menjemput saya pada hari itu (dan mintak halal bateri AA dua bijik tu ye bro). Saya lihat bro bersungguh-sungguh memberikan hasil yang terbaik kepada pelanggannya. Kedua mempelai pada hari itu juga sporting dan tak banyak kerenah yang turut memudahkan lagi kerja-kerja bro Meor. Saya pulang awal pada jam 5.45 petang, namun bro Meor masih sabar menunggu sedikit masa lagi untuk mengambil gambar sewaktu sunset. Jadi kepada bakal pengantin yang masih belum mempunyai OP lagi, saya suka merekemenkan bro Meor untuk hari bahagia anda.
Lima bintang untuk kerja bro!!
|
|
|
|
|
|
| Thursday, 27-Nov-2008 23:49 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Pesanan Buat Diriku Yang Lupa 2
|
|
Sewaktu zaman persekolahan dahulu ada satu ayat Al-Quran yang diajar di dalam kelas yang amat berguna di dalam kehidupan kita setiap hari. Ayat 6 Surah Al-Hujuraat itu bermaksud;
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Ada segelintir manusia begitu mudah mempercayai apa sahaja yang sampai ke pendengaran telinganya. Tidak kira apa berita, dia begitu mudah untuk dipengaruhi dan menerima bulat-bulat setia perkara. Di sini Allah s.w.t. menegaskan akan perlunya sesuatu perkara itu diselidiki dengan mendalam akan kebenarannya. Ini kerana jika kita tersilap mengambil tindakan ke atas seseorang berdasarkan fitnah yang diterima, maka orang itu akan menerima kesan yang buruk sekaligus menjadi mangsa aniaya. Lebih malang lagi kesan buruk itu bukan hanya menimpa mangsa bahkan kaum keluarga serta orang yang berada di sekelilingnya. Begitu sekali Allah menekankan kerana sesuatu kesilapan itu akan menyebabkan kita menyesal tak sudah. Tapi apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Walaupun kemaafan boleh kita pohon daripada mangsa, itu tidak akan dapat mengubat hati yang telah retak dan pecah berderai.
Ada golongan manusia yang suka menjaja cerita, mengadu domba dan suka melihat manusia bertelingkah. Setiap salah yang kecil akan diperbesarkan, kalau yang besar apatah lagi. Orang yang sedang bermusuhan, apabila datang sesiapa sahaja membawa cerita buruk mengenai seterunya akan terus sahaja percaya dengan cerita itu. Itulah bahayanya bermusuhan dan menyimpan dendam kesumat. Apa yang dibuat orang akan kelihatan buruk sahaja di matanya walau sebaik manapun orang itu. Kita perlu tahu apabila timbul perkara sebegini, syaitak akan memainkan peranan jahatnya untuk terus menyesatkan umat manusia. Kita perlu muhasabah diri kita dan kenali kelemahan diri kita. Janganlah mudah percaya dengan sesuatu khabar berita sebelum kita benar-benar menyelidikinya dan pasti akan kebenarannya. Untuk mendapatkan cerita yang sebenar, maka orang yang menjadi subjek berita itulah yang menjadi rujukan utamanya kerana hanya dia sahajalah yang boleh mengesahkan benar atau tidaknya sesuatu berita itu. Ini kerana hanya beliaulah sahaja yang mengetahui akan duduk perkara yang berkaitan dirinya. Janganlah sesekali merujuk kepada orang yang tidak berkaitan kerana dikhuatiri orang itu juga tidak menyukai subjek maka akan bertambah besarlah fitnahnya.
Selain itu kita perlu berbaik sangka dengan manusia, tidak sekali-kali mengumpat serta tidak merasakan kita lebih hebat dari orang lain. Surah Al-Hujuraat yang mengandungi ayat di atas sebenarnya juga mengandungi beberapa ayat lain yang begitu berguna kepada manusia di dalam muamalah dan adab pergaulan sesame insane. Marilah kita hayati ayat-ayat di bawah ini yang amat jelas sekali dan mudah kita fahami tanpa perlu pentafsiran serta huraian panjang. Apa yang penting kita lihat kembali diri kita, apakah kita telah mengamalkan segala suruhan Allah di dalam ayat-ayat ini. Jika tidak, maka lafazkanlah istighfar, bertaubatlah kepada Allah serta berazam akan berbuat sesuatu yang lebih baik serta memperbaiki semula hubungan dengan manusia.
Kita renungi maksud ayat-ayat ini;
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu berolah rahmat. (Al-Hujuraat 10)
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itulebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah kamu penggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkanorang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang ) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujuraat 11)
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Al-Hujuraat 12)
(Sangkaan yang dilarang itu ialah sangkaan yang membahayakan atau menyusahkan. Adapun sangkaan yang bertujuan beringat dan berjaga-jaga yang tidak menbahayakan atau menyusahkan orang lain, maka itu tidaklah terlarang.) – Nota kaki Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran bagi ayat di atas.
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah diantara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Al-Hujuraat 9)
|
|
|
|
|
|
| Thursday, 27-Nov-2008 00:16 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Mencari Mat Pet dan Aan
|
 |
|
Mat Pet
|
|
 |
|
Mr & Mrs Jemain
|
|
|
Semasa melakukan tugasan luar ke Labuan dan Miri beberapa minggu yang lalu, saya bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan 2 teman sekolah yang tidak pernah saya bertemu sebaik sahaja menamatkan pengajian. Setelah 16 tahun berlalu maka Allah mengizinkan pertemuan ini sekaligus mengeratkan lagi silaturrahim. Sebelum pergi ke Labuan saya memang tidak ada merancang untuk bertemu dengan sesiapa. Namun ketika bersendirian di bilik hotel saya teringatkan sahabat saya ini yang bernama Hanafis bin Borhan, orang Kuala Sungai Baru, Melaka yang khabarnya bekerja di sini. Masalahnya nombor beliau yang saya ada adalah nombor pejabat lamanya di Kuala Lumpur dahulu. Kerana kuatnya keinginan saya menghantar sms kepada 3 sahabat saya di KL meminta dicarikan nombor Hanafis ini. Alhamdulillah ketiga-tiganya berjawab dan dapatlah saya menghubungi beliau. Malam itu Hanafis membawa saya ke rumahnya untuk makan malam. Tidak banyak perubahan roman wajah pada jejaka ini. Masih seperti dahulu, ceria dan suka berjenaka. Malam itu masa bagaikan begitu cepat sekali berlalu, yang kami sulami dengan kisah-kisah zaman dahulu yang begitu seronok untuk dikenang semula. Ketika berpisah, Hanafis berkata, entah-entah lagi 16 tahun lagi pula dapat kita berjumpa sekali lagi. Doa saya agar tidaklah selama itu. Insya Allah kita akan berjumpa lagi.
Kerana mengetahui saya akan ke Miri selepas itu, beliau memberikan nombor telefon seorang lagi sahabat saya yang bekerja di Miri, saudari Raihan binti Usop. Dalam dunia fp beliau lebih dikenali dengan nama Mrs. Jemain (mrsjemain.fotopages.com). Beliau merupakan rakan sekelas saya semenjak dari tingkatan satu hingga lima. Kami juga sama dalam pasukan pantun sekolah yang sama-sama membawa pasukan hingga mendapat Naib Johan Pesta Pantun Berita Harian peringkat Negeri Sembilan pada tahun 1992. Raihan bersama suaminya Encik Jemain belanja saya makan mee kolok di sebuah restoran dan kemudiannya membawa saya mengitari bandar Miri melihat kemewahan beberapa rumah orang kaya di sana yang besarnya umpama istana.
Peluang seperti ini mungkin sukar untuk selalu diperolehi. Namun syukur di zaman teknologi yang serba canggih ini, segala yang jauh dapat dihampirkan walaupu secara maya. Doa saya agar semua teman-teman sentiasa di dalam rahmat Allah dan diberkati segala pekerjaan. Amin.
|
|
|
|
|
|
| Monday, 24-Nov-2008 23:56 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Satu Pesanan Buat Diriku Yang Lupa
|
|
| Quote: | | Gambar-gambar pada hari ini merupakan suasana pada hari Konvo TAKIS Kakak dan Jaja. Cerita mengenainya telahpun saya tulis pada entry 'Ouled : Tour Of Duty' bertarikh 3 November yang lalu dan anda boleh merujuk ke sana..... |

Apabila kita berada di masjid, kita seakan sehati sejiwa. Kita berdiri dalam satu saf yang sama, berjamaah pula, kita berdiri di belakang imam yang sama, lambang ketaatan kepada seorang pemimpin serta lupa seketika akan perbezaan kedudukan, pangkat dan darjat. Dan yang lebih penting lagi adalah kita sama-sama menyembah Tuhan yang sama – Allah Yang Maha Esa. Alangkah indahnya perilaku kita itu, nampak teguh dan bersatu padu. Tidak timbul lansung ‘engkau siapa’, ‘apa kedudukan kau’, ‘pangkat aku lebih tinggi dari kau’, atau ‘kau kena hormat dengan aku’. Alangkah kerdilnya kita ketika itu di hadapan Dia Yang Maha Perkasa.
Namun sebaik sahaja kita keluar dari rumah-Nya itu, kita seakan terlupa akan segala perkara baik yang kita lakukan sebentar tadi. Mulut kita mula mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Mengumpat, mencaci, memfitnah, mengadu domba, menjatuhkan kedudukan orang lain, suka menyalahkan, mengorek segala keburukan orang lain sehingga terlupa akan keburukan diri sendiri. Tangan pula memainkan peranan menunjukkan isyarat yang tidak sepatutnya, menulis perkara berbau fitnah, celaan dan sebagainya, mencuri dan berbagai lagi. Begitu juga dengan pancaindera yang lain.
Seringkali para tuan guru mengingatkan bahawa jika kita berbuat salah dengan Allah maka kita boleh meminta ampun bila-bila masa sahaja. Namun apabila melakukan kesalahan dengan manusia, kita perlu memohon kemaafan daripada daripada orang yang kita lakukan kesalahan itu. Sehinggakan Nabi pernah berpesan tentang orang yang muflis di akhirat nanti, pahala yang dimiliki seseorang itu terpaksa diberikan kepada orang lain akibat kesalahannya kepada orang itu. Alangkah ruginya kita saudara dan saudari. Berpenat lelah kita mencari bekalan akhirat namun terpaksa diberikan kepada orang lain akibat perbuatan kita sendiri. Bahkan saya sendiri amat takut dengan perkara ini kerana dalam kehidupan seharian kita terkadang melakukan kesilapan tanpa kita sedari. Ya Allah jauhkanlah kami dari menjadi golongan yang muflis di akhirat nanti.
Satu maksud firman Allah yang selalu melekat di fikiran saya ialah ‘Sesungguhnya orang mu’min itu bersaudara, maka damaikanlah kedua saudara kamu yang bertelingkah’. Ini merupakan satu penegasan daripada Allah bahawa kita semua orang Islam ini bersaudara. Sayangnya inilah yang sering kita lupakan. Bila sahabat kita susah, sudahlah kita tidak membantunya malahan kita tambah menyusahkannya lagi. Kita cuba bongkar kesalahannya sedangkan Nabi suruh tutup keaiban seseorang itu, kerana apabila kita tutup keaiban seseorang, Allah akan tutup keaiban kita di akhirat kelak. Begitu juga Allah menyuruh kita mendamaikan segala kekeruhan antara umat Islam. Tapi ada yang lebih suka menjadi batu api menghangatkan lagi keadaan. Kerana itulah perkara yang asalnya kecil menjadi besar akibat ketidakbijaksanaan sendiri.
Apabila seseorang melakukan kesalahan, maka tanggungjawab kita untuk menasihati dan membetulkan kesalahan. Mana yang bengkok kita luruskan dan bukannya menambahkan lagi kecelaruan itu. Kebiasaannya orang yang melakukan kesalahan itu akan dihukum. Lebih buruk lagi apabila hukuman dijatuhkan tanpa dipanggil individu tersebut untuk membela diri atau menerangkan hal yang sebenarnya berlaku. Untuk menjatuhkan hukuman pula perlu dilihat dari segenap pandangan dan perkara agar hukuman yang dijatuhkan itu tidak mendatangkan kesusahan kepada orang lain seperti kaum keluarga yang bersalah. Jika tidak kita secara tidak lansung melakukan kesalahan pula kepada keluarga individu terbabit. Konsep keadilan perlu ada agar tidak berlaku zalim. Sebab itu orang yang mencuri makanan kerana kebuluran tidak boleh dipotong tangannya kerana dia berada dalam keadaan terdesak untk meneruskan kelansungan hidup. Orang disekelingnya pula yang bersalah kerana tidak mengendahkan nasib satu nyawa.
Alangkah susahnya menjadi manusia. Sebab itu Saidina Umar lebih suka jikalau beliau ini dijadikan sehelai daun kering sahaja. Ini kerana daun ini tidak akan dihisab di akhirat kelak. Sesungguhnya ini satu pesanan buat kita semua, terutama buat diri saya yang menulis ini. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat atau organisasi kita merupakan ketua atau pemimpinyya. Maksud sabda Nabi s.a.w.; ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya’.
Ya Allah amat berat tanggungjawab di atas bahu ini. Aku juga ingin menjadi daun seperti Umar…….
-Ustaz Mizhar Haji Mazlan
|
|
|
|
|
|
| Wednesday, 19-Nov-2008 01:23 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Aju & Aswad
|
|
Perkahwinan merupakan antara gambar yang jarang dapat dilihat di dalam fp saya. Sememangnya saya amat jarang mengambil gambar sebegini memandangkan banyak juga majlis yang saya miss di atas sebab-sebab yang tidak mengizinkan. Selain perkahwinan sahabat saya dalam entry di bawah ada lagi majlis yang telah berlansung sebelum itu lagi iaitu majlis sepupu saya Nor Juanita binti Baharuddin atau yang kami panggil Aju. Majlis yang berlansung di Taman Tasik Jaya ini turut menghimpunkan kaum keluarga yang dekat dan jauh. Walaupun bukan OP untuk majlis tersebut, tapi macam biasalah Ouled Kenitra pun tak mahu kalah ngan OP sebenar. Dah tuan rumahpun bapa saudara kita maka kita redah ajelah. Sambil tu dapat juga menimba ilmu sedikit sebanyak daripada OP yang dilantik. Member tu pun tak kedekut ilmu. Ilmu fotografi sebenarnya lebih baik dituntut secara praktikal berbanding secara membacanya di mana-mana teks. Kalau salah, dan dan tu juga tok guru boleh betulkan. Kalau melalui teks, contohnya saya suka merujuk kepada majalah Digital Camera Magazine (DCM), dahlah kita ni tak reti mana baca omputeh, kalau tak paham pakat tak paham teruslah.
Apahalpun, masih takleh lawan bro Meor....he he
|
|
|
|
|
|
| Monday, 17-Nov-2008 02:31 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Azlan & Zaimahani
|
|
Naluri diri masih lagi hendak mengulas peristiwa entry yang lalu. Tapi nantilah, hati yang terbakar ini belum reda lagi apinya.
Semalam saya menghadiri majlis persandingan sahabat saya di Kg Melayu Subang, Azlan dan Zaimahani yang pernah bersama saya di Pejabat Pengarah Tanah & Galian Wilayah Persekutuan dulu. Seronok juga kerana dapat bertemu beberapa rakan dan staf lama saya dulu. Kadangkala hati tersenyum apabila mengingatkan si Azlan masa tengah kemaruk bercinta dulu.
Namun semalam saya dapat rasa buah tangan saya amat hambar sekali. Tak tahu kenapa. Serba tak kena jadinya setting kamera semalam. Nak lawan bro Meor Jay memang tak bolehlah, tapi tu la nak sipi-sipi pun tak sampai juga lagi.
Buat kedua mempelai, moga berbahagia......
|
|
|
|
|