|
|
| Thursday, 9-Apr-2009 23:43 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Tersiksa Dek Novel Chenta
|
|
Beberapa minggu yang lalu saya memenangi sebuah novel dari peraduan yang saya sertai di Sinar.fm. walaupun pertandingan itu memberikan hadiah yang sama untuk semua yang menang serta tiada tempat pertama atau kedua, nama saya diletakkan paling atas sekali antara semua peserta. Peraduan tersebut menanyakan soalan berkenaan novel itu juga yang jawapannya saya boleh katakan percuma sahaja kerana semuanya telah ada pada sinopsis peraduan. Cuma cabaran yang terakhir meminta peserta memberikan slogan terbaik. Sememangnya dari dulu saya cukup menyampah dengan peraduan yang memerlukan peserta memberikan slogan memandangkan saya bukanlah seorang yang pandai menyusun kata. Jadi pemilihan sebagai pemenang ini sebenarnya agak memeranjatkan diri saya sebenarnya.
Saya memenangi sebuah novel cinta bertajuk Dewi Cinta karangan Teja Irzara. Telah beberapa minggu saya cuba menghabiskan bacaan novel ini namun sehingga tulisan ini dibuat, bacaan saya masih belum sampai ke penghujungnya. Terasa siksa yang amat sangat untuk menyudahkan novel ini. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yang antaranya:-
1. Gaya penulisan yang membosankan saya,
2. Saya bukan peminat novel cinta,
3. Saya tidak nampak apa hikmah yang ingin disampaikan selain cinta remaja yang melalaikan, kucup dahi, pipi, pegang tangan, keluar malam, perkara-perkara yang lansung terkeluar dari ajaran Islam,
4. Tidak habis-habis dengan monolog hati,
5. Pengarang tidak kreatif mengembangkan cerita
6. Tulisan yang menggunakan gaya bahasa orang pertama, dan lain-lain lagi.
Hendak kata saya lansung tidak membaca bahan yang berunsurkan cinta tidak juga. Saya masih membacanya dengan syarat tiada lansung unsur di atas dan ia ditulis berlandaskan ilmu, ada perkara ilmiah yang boleh dipelajari dan yang penting ia bukan kasih sayang yang melalaikan serta tegelincir dari landasan Islam. Kerana itu saya boleh ‘masuk’ dengan tulisan Habiburrahman El Shirazy yang kali pertama memikat saya dengan Ayat-Ayat Cinta. Daya tarikan penuh ilmiah ini membuatkan saya menerukan lagi dengan Dalam Mihrab Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih vol.1 dan vol.2. Begitu juga dengan Zaid Akhtar yang menukilkan Salju Sakinah.
Walaupun begitu dukacita yang amat kerana dunia novel Malaysia banyak dilambakkan dengan novel cinta yang melalaikan ini. Para pembaca yang membacanya akan terasa bahawa watak utama itu adalah mereka lantas ingin melakukan apa yang dilakukan watak-watak itu. Jika tulisan seseorang pengarang itu membuatkan pembaca terpengaruh sehingga melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, maka beliau telah menyumbang kepada kemungkaran dan begitulah jua sebaliknya.
Kerana itu tulisan Ramlee Awang Mursyid sering menjadi pilihan saya kerana menyajikan unsur thriller di samping rujukan yang digunakan untuk penulisannya. Dalam satu pertemuan saya dengan penulis tersebut beliau menyatakan beliau beruntung kerana bertugas di bilik berita RTM yang memudahkan beliau mencari bahan rujukan yang sesuai untuk penulisannya. Yang mutakhir juga saya telah membaca Meniti Maut karangan Eyman Haykal. Walaupun ini kali pertama beliau menulis dalam genre penyiasatan dan aksi, saya memuji percuban berani ini. Saya percaya jika terus menulis lagi dalam genre berkenaan, beliau akan menemui rentaknya yang akan terus merancakkan lagi penulisan sehingga Berjaya menawan khalayak pembaca. Selain itu saya telah membaca Mantera Hitam karangan Serunai Faqir. Permulaan novel ini agak menarik namun penamatnya amat mengecewakan saya kerana ia tergantung begitu sahaja umpama cerita yang belum tamat. Tidak pula dinyatakan adakah novel ini mempunyai sambungannya nanti. Cuma kalau ada yang bertanya pendapat saya untuk membeli novel ini, pesan saya carilah novel lain. Agak menyakitkan hati apabila minat membaca anda ‘dibunuh’ begitu sahaja.
Tak lama lagi akan berlansung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Hati meronta untuk pergi, malangnya poket menjerit menahan diri!!
p/s. Beberapa hari lalu saya bermimpi pelik. Saya bertemu dengan Presiden Barrack Obama dan berbual dengannya dalam Bahasa Arab. Saya jarang mengingati mimpi, tapi yang ini masih melekat di kepala. Apa tafsiran anda.....
|
|
|
|
|
|
| Sunday, 5-Apr-2009 23:45 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Sukan Sekolah
|
|
Set ini merupakan antara gambar yang lama saya peram. Diambil sewaktu saya cuti sakit dahulu. Ketika itu sudah minggu ke tiga atau ke empat semenjak keluar dari hospital. Sekolah kakak mengadakan acara sukan tahunan pada hari Sabtu yang mana umminya bekerja pada sebelah pagi. Memandangkan acara kakak juga dilansungkan pada waktu pagi, mahu tak mahu saya terpaksa juga sarung seluar dan bersama dengan kakak untuk memberikan sokongan. Pergerakan ketika itu masih belum laju dan lancar memandangkan tiub masih melekat di punggung.
Mewakili rumah merah kakak menyertai sukaneka membawa bola pimpong di dalam sudu. Sepatutnya pasukakan kakak boleh menang namun kerana peserta akhir teragak-agak hendak berlari ke tempat penamat menyebabkan peluang itu dirampas oleh peserta lawan. Apapun dengan hadiah di tempat kedua, sekurang-kurangnya dia dan rakan-rakannya masih gembira.
Semasa mengambil gambar acara penyampaian hadiah terdengar suara dari pembesar suara meminta kepada yang tidak berkenaan agar tidak berada di kawasan padang. Saya tahu pengumuman itu lebih kepada saya memandangkan tiada ibu bapa atau penjaga lain berada di sana selain para petugas dan guru sekolah. Maaflah, saya terpaksa ingkar pada amaran itu. Saya tak mahu terlepas satu acara dalam sejarah keluarga Ouled Kenitra. Lagipun kehadiran saya tidak mengganggu acara yang sedang berlansung. Lainlah kalau lensa 300 mm sudah berada dalam milikan…….
|
|
|
|
|
|
| Monday, 30-Mar-2009 01:24 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Main Lelayang
|
|
Pantai Remis terletak di antara perjalanan dari Klang ke Kuala Selangor. Pantainya tidaklah seindah Port Dickson, tambahan pula hakisan pantai menyebabkan pantainya diletakkan bongkah-bongkah batu sebagai penampan. Walaubagaimanapun kawasan ini menjadi tumpuan warga tempatan untuk bereakrasi di hujung minggu. Kali terakhir ke sini adalah sebelum saya bernikah lagi dan kehadiran kali kedua ini pula dengan tiga anak dara yang dah besar belaka. Saya melihat suasananya agak meriah berbanding dengan kunjungan kali pertama dahulu dengan tambahan pelbagai kemudahan serta gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan.
Beberapa minggu sebelum itu ada laporan di akhbar tentang pantai ini yang menceritakan tentang kemudahan serta kunjungan ramai orang pada setiap hujung minggu. Namun pantainya dicemari dengan sampah dan botol-botol arak dan ada yang pecah yang bleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung. Saya tidak pergi ke sebelah pantai yang berpasir cuma melepak di atas batu penampan sambil memerhatikan anak-anak riang bermain layang-layang yang dibeli daripada gerai yang ada di situ.
Seronok bermain layang-layang ini adalah apabila melihat ia terbang tinggi di angkasa. Dulu-dulu saya tak pernah beli layang-layang, Cuma buat sendiri dengan kertas surat khabar berbingkaikan lidi penyapu. Talinya adalah benang menjahit mak saya. Walaupun tak lawa dan kurang sempurna, sebagai kanak-kanak itu adalah satu keriangan yang sukar untuk digambarkan. Dan keriangan itulah yang membuat kita selalu merindukan zaman itu dan mahu pulang ke sana jika berpeluang. Malangnya peluang itu hanya diberikan Allah sekali sahaja dan ia takkan bisa diputar kembali ke belakang. Inilah satu hakikat kebenaran yang amat memedihkan..
|
|
|
|
|
|
| Sunday, 22-Mar-2009 23:38 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Belon Udara Panas Yang Memang Bikin Panas!!
|
|
Saya mendapat maklumat mengenai pertunjukan belon panas Putrajaya daripada Prince Nebulosh (princenebulosh.fotopages.com) beberapa minggu sebelum acara itu berlansung yang membolehkan saya menyusun jadual hari minggu saya. Sementelahan lagi saya belum pernah merakam sebarang acara melibatkan belon panas. Jadi semalam pagi-pagi lagi saya sekeluarga telah bersiap dan bertolak dari rumah kami di Meru ke Putrajaya. Anak-anak memang teruja untuk melihat belon panas terutama apabila melihat promonya di televisyen.
Memasuki kawasan Putrajaya dari kejauhan kelihatan beberapa belon panas terbang di udara. Anak-anak tambah seronok melihatnya dan saya mahu segera untuk sampai ke sana. Sesampainya saya di kawasan parkir, kelihatan satu belon panas berbentuk cawan merah Nescafe sedang mula melayang ke udara. Saya tidak mengambil gambarnya kerana menyangka belon itu akan terus berlegar di kawasan itu atau akan turun ke kawasan permulaannya semula. Di dalam satu kawasan berpagar ada sebuah lagi belon panas yang diikat dengan tali pada setiap penjurunya dan dipaku pada bumi. Belon itu hanya akan terbang di situ sahaja setakat panjang tali yang menyambungnya, seolah satu pameran jarak dekat. Saya dan keluarga cuba memasuki kawasan berpagar itu namun tidak dibenarkan. Lantas saya menarik tangan anak-anak dari kawasan itu menyusuri tepian pagar dengan hasrat untuk mengambil gambar dari kawasan luar. Saya agak bertuah kerana di satu kawasan terdapat pagar yang sedikit terbuka menyebabkan saya tidak mahu melepaskan peluang untuk masuk. Namun berada dalam kawasan itu juga sebenarnya sudah dikira agak terlewat kerana belon panas itu semuanya sudah terbang melayang entah ke mana dan tidak akan kembali lagi.
Saya merasakan bahawa saya dan kebanyakan pengunjung seolah tertipu dengan waktu pertunjukan yang diwar-warkan di dalam media. Dikatakan ia bermula seawall jam 9.00 pagi dan berakhir jam 9.00 malam. Jadi pada pandangan orang biasa seperti kita ini di antara tempoh waktu itu akan pasti ada belon yang berterbangan di angkasa. Namun rupanya hanya dua kali sahaja pertunjukan belon itu iaitu seawal pagi dan pada waktu petang. Selain daripada dua kali kenaikan belon itu sela waktu yang lain adalah untuk acara yang tidak ada kaitan dengan belon udara seperti pertandingan mewarna. Sebaiknya acara ini dinamakan pertandingan mewarna Putrajaya dengan pertunjukan belon sebagai acara selingan!! Apabila saya telah terlepas pertunjukan pada waktu pagi, saya tak sanggup pula untuk buang masa menunggu sehingga ke petang untuk pertunjukan yang ke dua.
Saya dan keluarga kemudiannya berjalan di tepi tasik dan sekitar Monumen Alaf Baru. Prince Nebulosh kemudiannya muncul dengan e-520nya dan saya menyambung kembali mengejas senjata lama e-500 membandingkan dengan sang adik e-520. Satu kelebihan e-520 (begitu juga dengan generasi baru Olympus seperti e-420 dan e-30) ia amat ringan sekali dan tak membuatkan tengkuk rasa hendak patah memikulnya. Lense generasi barunya juga kecil dan ringan. Kalau berjalan jauh atau ke luar negara, kamera seperti inilah yang ngam untuk dibawa kerana saiznya yang kecil dan beratnya yang ringan berganda daripada dslr biasa. Ini membuatkan hati rasa tak sabar menunggukan kemunculan model baru e-620 tak lama lagi.
Hari ini hari lahir Madihah, masa pergi kerja pagi tadi dia masih tidur lagi. Kena singgah beli kek nampaknya petang nanti.....
p/s Prince Nebulosh ada candid gambar teman rupanya semalam. Bolehlah ziarah fp dia di http://princenebulosh.fotopages.com
|
|
|
|
|
|
| Friday, 20-Mar-2009 01:24 |
Email | Share | | Bookmark |
|
HDR sedang aku kebosanan
|
|
.....toin toin toin.......kepala bagaikan jem tak tahu apa yang nak dituliskan. Lalu ku upload gambar yang telah lama ku sediakan ini sehingga idea menulis datang kembali....
.....toin toin toin.....
|
|
|
|
|
|
| Wednesday, 18-Mar-2009 03:59 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Fenomena Alam
|
|
Sedang saya bersedia dengan kamera untuk merakam demonstrasi aset maritim sewaktu lawatan KSN tempohari, tiba-tiba kelihatan satu fenomena alam yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Lantas saya memetik picu sehinggalah pemandangan itu hilang dalam waktu yang agak singkat. Subhanallah, saya sendiri tidak tahu apakah yang sedang berlaku. Adakah itu hujan yang turun dari langit atau ribut di tengah lautan, entah, saya memang tidak tahu. Sahabat yang arif mengenai fenomena ini mungkin boleh memberikan penjelasan yang terperinci. Apa yang terjadi ketika itu sebenarnya agak jauh dan tidak terjangkau oleh telephoto 150mm saya. Hasil asalnya pula agak kelabu dan pudar. Saya gunakan perisian Adobe Photo Deluxe untuk memberi sedikit sentuhan warna dan menjelaskan sedikit gambarnya.
|
|
|
|
|
|
| Wednesday, 11-Mar-2009 23:52 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Ouled Bercerita Tentang Buah-Buahan
|
|

Kali terakhir mengambil gambar orang kahwin ialah sewaktu outing dengan bro Meorjay tahun lepas. Lepas itu kamera pula cuti sehinggalah hujung minggu lepas ada peluang ambil gambar satu pasangan. OP yang ada pun sudi bagi kita tumpang pakai background dia dan tak kisah saya menembak sama.
***************************************************************8
Kehidupan di Maghribi pada pertengahan 90’an amat mewah dengan buah-buahan. Sebagai negara yang mempunyai iklim Mediterranean, Maghribi menghasilkan pelbagai jenis buah yang biasanya amat mahal di Negara kita. Contohnya adalah seperti anggur, epal, apricot, limau dan lain-lain lagi. Buah-buahan ini pula biasanya datang mengikut musim. Harganya seperti biasan akan mahal di awal musim dan akan semakin murah apabila bilangannya bertambah banyak di pasaran. Walaupun saya katakana mahal, namun harganya berganda lebih murah berbanding negara kita. Jikalau di Malaysia untuk beberapa ratus gram anggur mungkin harganya dalam berbelas-belas ringgit. Namun di sini kita boleh membeli 3 kilo anggur dengan harga kurang dari RM10.00!!
Biasanya selepas selesai solat Jumaat di masjid, para peniaga buah akan sibuk menjual barangan mereka sama ada dengan kereta tolak atau gerabak yang ditarik oleh himar(keldai) atau kuda. Biasanya saya atau rakan-rakan akan membeli berkilo-kilo buah yang akan dimakan bersama apabila sampai di rumah nanti. Biasa kita melihat di dalam filem-filem lama yang menggambarkan raja atau golongan bangsawan memakan segugus anggur yang diangkat tinggi ke atas mulut dalam keadaan baring dan dengan berteleku ke kepala. Dengan kemewahan buah di sini saya dan rakan-rakan pernah meniru gaya sedemikian, umpama raja-raja dahulukala.
Buah juga amat mudah didapati di kedai yang menjual sayur, pasar, atau peniaga di tepi jalan. Kadang-kadang ada yang menolak gerabak buah mereka di kawasan-kawasan perumahan. Satu perkara yang menarik adalah alat timbangan yang mereka gunakan ketika itu. Ada yang menggunakan timbangan biasa dan ada juga yang menggunakan timbangan menggunakan pemberat umpama timbangan tahil yang digunakan peniaga Malaysia zaman dahulu. Ia adalah satu dacing yang sebelah daunnya diletakkan pemberat besi dan sebelah lagi daunnya untuk barangan. Maka jika hendakkan barangan seberat 1 kilogram maka pemberat 1 kilo akan diletakkan dan kemudian diletakkan barangan sehingga timbangan dacing itu setara. Tentunya timbangan seperti ini tidak memberikan nilai yang tepat namun tiada siapa yang pernah merungut.
Sebuah rumah yang pernah saya duduki di Zankat Abou Temmam mempunyai sepohon limau di hadapan rumah dan sepohon anggur di rumah teman yang terletak di belakang. Limau tersebut walaupun tidak berapa manis dan kadangkala masam cukup memuaskan hati kerana saya boleh memetiknya terus dari pokok. Manakala pohon anggur di belakang pada ketika itu masih kecil lagi dan saya tidak sempat melihatnya berbuah.
Saya pernah dua kali melawat sebuah kebun epal di Asni, Marrakech yang terletak di sebuah kawasan pergunungan. Bukan sahaja epal malah terdapat beberapa pohon lain seperti misy-misy dan barquq. Epal yang ditanam adalah dari jenis yang berwarna kuning (yang biasa dijual di sini) bukannya merah atau hijau. Jika rakan-rakan di Jepun sering bangga dengan bodou gari (memetik anggur) nya, maka saya juga lebih seronok memetik epal dan limau di sini.
Kadangkala kita boleh melihat pohon limau yang berbuah lebat yang berada di tepi-tepi jalan sahaja. Namun anehnya kerimbunan buah limau itu seakan tidak menarik perhatian sesiapa untuk memetiknya. Saya dimaklumkan bahawa pokok limau itu adalah untuk tujuan hiasan sahaja dan rasanya tidak seperti limau biasa. Mereka yang pernah memakannya memberitahu rasa limau tersebut seakan kelat pahit yang akan melekat di tekak untuk satu tempoh. Saya tidak pernah mencubanya yang membuatkan saya sedikit menyesal pada hari ini kerana kehilangan pengalaman tersebut. Saya pernah menulis sebuah cerpen jenaka mengenai limau tersebut bertajuk ‘Tragedi Limau Pahit’ yang tersiar di majalah Ujang pada tahun 1996.
|
|
|
|
|
|
| Wednesday, 4-Mar-2009 00:38 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Ouled Bercerita Tentang Pak Pacak
|
|
Gambar hiasan – Bombardier versi HDR
Satu hari semasa dalam tahun akhir pengajian, rumah sewa pelajar Malaysia di 20 Mamar Jamal Eddine Al Afghani dikunjungi oleh seorang wanita kacukan Maghribi Vietnam. Kedatangan beliau membawa satu hajat yang besar. Beliau mungkin mengetahui mengenai kelompok pelajar Melayu ini daripada seorang sahabat kami yang bernama Ahmad juga dari keturunan Mahribi Vietnam.
Sedikit yang saya ketahui tentang kelompok Maghribi Vietnam ini. Dikatakan askar Maghribi turut serta dalam tentera Peranchis sewaktu peperangan dengan Vietnam dahulu. Tentera Maghribi ini ada yang berkahwin dengan wanita Vietnam dan membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Generasi yang lahir hasil perkahwinan ini saya lihat mempunyai raut wajah Vietnam/Asia yang kuat namun mempunyai susuk tubuh umpama orang Arab, besar dan tinggi. Wajah lelaki mereka tampan begitu juga dengan wanita mereka yang cantik jelita. Mereka fasih bertutur dalam bahasa Arab serta dialek Darijah Maghribiyyah.
Berbalik kepada kehadiran wanita tadi (agak malang kerana saya sudah terlupa akan namanya), beliau merupakan wakil kepada sebuah produksi Hollywood dating untuk mencari mereka yang berwajah Asia untuk menjadi pelakon tambahan untuk filem yang menjalani penggambaran di sini. Bila dinyatakan bahawa filem tersebut adalah mengenai kisah hidup Dalai Lama, saya terus menyatakan jikalau watak yang akan dilakonkan itu adalah watak sami, maka saya minta maaf kerana tidak dapat memenuhi hajat tersebut. Namun kami dimaklumkan bahawa untuk watak sami, ia akan dilakonkan oleh sami sebenar yang didatangkan khas dari Tibet. Kami hanya akan melakonkan watak askar China.
Pada hari yang ditentukan saya dan beberapa rakan pagi-pagi lagi menaiki keretapi menuju ke Darul Baidha’ (Casablanca) dan seterusnya ke sebuah hotel yang ternama. Di hotel tersebut kelihatan begitu ramai krew filem tersebut begitu juga mereka yang berwajah Asia. Mula-mula kami perlu untuk mencuba pakaian tentera China di sebuah bilik. Untuk mencuba pakaian tiada bilik khas untuk bertukar disediakan. Pelakon perlu mencuba di situ juga di hadapan ratusan mata yang memandang. Mujurlah ketika itu musim sejuk di mana kami biasanya memakai dua lapis seluar panjang, maka tak perlulah menunjukkan ‘seluar kecil Superman’ di khalayak ramai.
Kemudian rambut kami dipotong oleh sekumpulan tukang gunting khas. Merasa juga dapat digunting rambut oleh mat salleh yang tentunya biasa menghias rambut bintang Hollywood. Cuma untuk bercukur saja kami diminta bercukur sendiri dengan diberikan pisau cukur.
Ketika seorang krew mengatur pelakon yang terlibat untuk penggambaran malam itu, nama saya dan seorang lagi sahabat tidak dipanggil memandangkan tenaga yang hendak digunakan pada malam itu sudah mencukupi. Sahabat lain yang turut sama telah terpilih untuk berlakon. Menyedari bahawa tidak ada gunanya untuk saya terus berada di situ memandangkan hari telah mula petang, saya mendesak seorang Arab yang menjadi koordinator di situ untuk membayar wang upah saya.
“Ara liya fulus diyali wa ana ghadimsyi bahali”(Bagi duit aku dan aku akan berambus), kata saya berulang-ulang. Saya rasa saya perlu dibayar memandangkan saya telah datang dari jauh ke Casablanca, membazirkan masa sehari untuk mencuba pakaian, bergunting dan melahu tanpa tujuan. Akhirnya saya dan sahabat saya di bayar dalam lingkungan DM400 yang saya rasa berbaloi disamping dapat bergunting percuma. Saya pulang terus malam itu juga ke Kenitra. Biarlah tidur di rumah daripada membazir wang tidur di hotel. Wang bagi pelajar yang jauh dari negaranya amat bernilai dan amat rugi jika dibazirkan.
Sementara itu sahabat saya yang lain saya tinggalkan untuk mempamerkan bakat mereka malam nanti. Agak terkejut juga saya apabila keesokan petang mereka ini muncul semula di rumah sedangkan penggambaran masih ada lagi. Menurut mereka, mereka menahan kesejukan udara musim dingin sepanjang malam. Ini kerana kostum yang mereka pakai adalah nipis dan tidak dapat menahan kesejukan. Mereka berlakon sebagai askar China di dalam sebuah dewan dalam sebuah majlis. Ada yang berlakon sebagai pengawal dan ada yang berlakon mengambil gambar dengan kamera lama yang setiap kali flash menyala mentolnya akan terus terbakar. Adegan ini sahaja menurut mereka terpaksa diulang beberapa kali apabila ada pelakon yang memetik kamera sebelum waktunya menyebabkan bulb flash lansung tidak boleh dipakai lagi. Namun krew penggambaran mungkin telah menyedari bahawa hal seperti ini pasti akan berlaku menyebabkan sekotak bulb telah disediakan. Penggambaran yang tamat waktu dinihari menyebabkan sahabat-sahabat saya ini terpaksa ‘berjuang’ untuk mendapatkan hotel untuk berehat atau mereka terpaksa lepak ditepi jalan sahaja sehingga pagi. Memang untuk bertekak dengan Arab memerlukan ‘kekuatan dalaman’ yang luar biasa atau kita akan terlepas apa yang dihajati. Akhirnya mereka diberikan penginapan sebuah bilik di sebuah hotel murah. Lalu bergelimpanganlah mereka berehat beramai-ramai sehinggalah mereka memutuskan untuk pulang sahaja dan tidak mahu lagi meneruskan lakonan. Apapun kurang-kurang dapat juga jadi pak pacak filem Hollywood…
Beberapa selepas itu setelah kembali ke tanah air, saya terjumpa dengan filem ini yang dijual di pasar malam (Masa itu masih dalam bentuk VHS lagi). Babak lakonan mereka hanya beberapa saat sahaja, itupun lansung tidak dapat dikenalpasti akan wajah mereka. Namun ketelitian Hollywood untuk menghasilkan babak yang pendek itu memakan masa yang cukup panjang demi memastikan ia kelihatan realistik dan bermutu.
Nota: Filem yang dimaksudkan dalam kisah di atas adalah KUNDUN tulisan Melissa Mathison arahan Martin Scorsese dalam tahun 1997.
|
|
|
|
|
|
| Thursday, 26-Feb-2009 00:39 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Bombardier CL 415MP
|
|
Merupakan aset terbaru Maritim Malaysia dan pertama kali membuat demonstrasi pada Ahad lepas sewaktu lawatan Tan Sri KSN. Berkemampuan untuk mendarat di atas air, mengangkut air serta mencurahkannya ke atas kebakaran. Anak tempatan masih lagi dalam proses nak 'bermesra' dengan jentera ini. Sebab itulah untuk demo ini masih lagi cicit penjajah yang membawanya.
|
|
|
|
|
|
| Sunday, 22-Feb-2009 23:57 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Kameraku Bekerja Semula
|
|
Antara perkara pertama yang saya lakukan sewaktu memasuki pejabat setelah lama bercuti sakit pada Khamis lepas adalah bertemu dengan ketua saya bagi melaporkan akan kehadiran serta mendapatkan arahan terbaru. Beliau memberitahu sepanjang ketiadaan saya semua kerja berjalan dengan lancer dan saya tidak perlu risaukan apa-apa. Seterusnya beliau memaklumkan tentang arahan-arahan kerja serta lawatan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada hari Ahad, 22 Februari (semalam).
Saya agak teruja dengan lawatan ini memandangkan ini merupakan lawatan rasmi pertama Y.Bhg. KSN ke Daerah Maritim Pelabuhan Klang. Tambahan pula beliau merupakan penjawat awam yang berkedudukan paling tinggi serta merupakan satu-satunya penjawat awam yang bertaraf menteri. Hampir 2 tahun dahulu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah melakukan lawatannya ke sini dan sekali lagi kami akan menerima satu lawatan daripada seorang VVIP.
Walaupun pergerakan saya masih terbatas, saya tentunya tidak mahu ketinggalan dalam acara sebegini. Tambahan pula ketua saya sekarang mendapat satu sakit yang bagi saya agak berat juga. Beliau agak keberatan untuk ke hospital kerana sakitnya itu saya yakin akan membuatkan beliau terus ditahan di hospital. Beliau hanya mendapatkan rawatan tradisional. Walaupun kesakitan, beliau terus hadir ke pejabat dan akan cuba untuk hadir pada hari penting itu nanti. Sikap penuh bertanggungjawab beliau tambah menaikkan semangat saya untuk bekerja.
Seperkara lagi yang membuatkan saya agak teruja adalah kerana inilah kali pertama pesawat terbaru Maritim Malaysia dari jenis Bombardier akan melakukan demonstrasinya. Namun kali ini sengaja saya tidak paparkan pada entry hari ini. Saya akan paparkan entry khas untuk tujuan itu nanti.
Terasa geram apabila seorang wanita terlanggar kamera saya dengan agak kuat. Risau saya seketika takutkan flash yang dipasang terpatah dari tapaknya. Andainya flash itu patah tidak mustahil saya akan mengambil tindakan diluar jangkaan. Silap-silap balik rumah dengan tapak kasut di muka. Tiada kata maaf dari beliau , mungkin kerana kerosakan harta orang lain tidak akan merugikan beliau. Teringat kata-kata member semasa sekolah dulu….’dahlah bodoh sombong pulak tu…..”. Siapa tak sayang ‘senjata’ menembak sendiri oii….
|
|
|
|