|
|
| Friday, 14-Aug-2009 01:18 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Air Tangan Majidah
|
|
Semasa di Floria 2009 saya sebenarnya ada seorang lagi rakan ‘sparring’ menjepret gambar-gambar di sana. Siapa beliau, tak lain tak bukan my lovely daughter Majidah. Majidah yang akan genap 7 tahun bulan depan saya berikan kamera lama saya Olympus mju-10 untuk beliau membiasakan diri. Biar dia main kamera kecik dulu, dah pandai sok baru buleh main kamera besar. Saya tidaklah mengharapkan dia akan mengambil shot shot yang bagus banget. Namun ada juga beberapa shotnya yang saya anggap boleh tahan. Entry kali ini akan dihiasi dengan air tangan kakak Majidah, bebas tanpa sebarang editing.
| Quote: | Belasungkawa
Takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham Asri Ibrahim, vokalis Rabbani yang pulang ke rahmatulLah semalam. Saya bukanlah rakan yang mengenali Allahyarham secara dekat cuma seorang antara ribuan peminat beliau dan salah seorang saudara seagamanya. Pertama kali mengenali suara beliau adalah dalam tahun 1987 melalui album Musafir Kelana ketika beliau bersama Nada Murni. Mungkin ketika itu umur beliau hanya sekitar 19 tahun sahaja. Kemerduan suara beliau melantunkan Musafir Kelana serta Islam Yang Telah Berkembang di dalam album tersebut memberikan umat Islam satu alternatif lain untuk berhibur. Nasyid ketika itu bolehlah dikatakan umpama bergerak secara underground. Nada Murni yang merupakan anggota jemaah Al-Arqam hanya dikenali melalui terbitan pergerakan itu dan kasetnya juga hanya dijual di kedai-kedai kitab atau kedai milik jemaah tersebut.
Semasa saya di luar Negara saya membawa bersama-sama beberapa keset Nada Murni untuk halwa telinga seorang pengembara. Kadang-kadang saya meminta rakan di Malaysia untuk mengirimkan album baru kumpulan tersebut. Dalam tempoh saya di luar negara jemaah Al Arqam diharamkan dan nama Nada Murni turut lenyap bersama.
Di tahun akhir pengajian, saya mula terdengar nama sebuah kumpulan nasyid yang mula membina fenomenanya yang tersendiri - Raihan. Melihat kepada line-upnya saya tahu mereka bekas anggota jemaah itu dalam kumpulan nasyid The Zikr. Kemudian muncul pula Rabbani yang mana Ustaz Asri turut berada di dalamnya. Munif Ahmad yang asalnya turut bernasyid bersama Asri di dalam Nada Murni muncul pula bersama Hijjaz. Dan setelah itu irama nasyid bukan lagi asing pada telinga rakyat Malaysia dan dakwah melalui hiburan Islam telah mula diterima ramai.
Saya teringat di hari kematiannya semalam akhbar Utusan baru sahaja melaporkan tentang satu konsert di Stadium Melawati yang disertai oleh Rabbani, Raihan, Hijjaz serta beberapa kumpulan lagi. Akhbar tersebut turut menyifatkan buat pertama kalinya nama-nama besar nasyid bergabung buat pertama kalinya dalam satu konsert yang hebat. Rupanya inilah konsert terakhir buat Ustaz Asri.
Sebagai peminat fotografi, dua kali sempat saya merakamkan persembahan kumpulan Rabbani iaitu semasa di sebuah majlis walimatul urs dan semasa sebuah majlis malam kebudayaan yang keduanya bertempat di Kampung Bukit Kapar, Meru. Bayangkan sebuah kumpulan nasyid yang besar masih mahu mengadakan persembahan di sebuah majlis perkahwinan. Entry saya yang mengandungi Rabbani boleh dilihat di sini;-
http://kenitra1975.fotopages.com/?entry=1633913
http://kenitra1975.fotopages.com/?entry=629725
Apapun beliau telahpun pergi dan pergi ini takkan kembali lagi. Al-Fatihah.
|
|
|
|
|
|
|
| Wednesday, 12-Aug-2009 00:28 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Bertugas Sebagai Ketua Rombongan
|
|

Biasanya hari minggu saya cukup liat untuk berjalan keluar. Saya lebih suka menghabiskan cuti hujung minggu di rumah sahaja bersama keluarga, membaca akhbar, majalah dan buku yang belum habis di baca atau kalau keluar sekalipun ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur. Tapi pada Ahad lepas entah macam mana tergerak pula hati nak menjengah Floria di Putrajaya. Tapi hari yang sama juga mak sedara di Shah Alam, kepala letih seketika merancang jadual.
Akhirnya ketua keluarga ini memutuskan untuk pergi ke Floria dahulu di awal pagi dan terus ke Shah Alam selepas itu. Maka berbondonglah satu keluarga ini dengan mobil hitamnya merangkak perlahan ke Putrajaya. Letih juga tengkuk kepala setibanya di area Putrajaya mencari sekiranya ada penunjuk arah ke pameran bungaan tersebut. Namun letih menjenguk, menoleh kiri dan kanan, tak kelihatan juga apa-apa penunjuk arah ke pameran tersebut. Setelah memasuki kawasan roundabout terbesar di dunia itu kira-kira 200 meter barulah kelihatan sepanduk mengenai pameran tersebut yang tergantung di tiang di tepi jalan. Sepanduk itu hanya meletakkan presint 2 sahaja sebagai tanda tempat ianya berlansung. Andainya seseorang itu kali pertama ke Putrajaya maka rasanya mencungap jugalah dia mencari ‘kek mano tobohnyo’ presint 2 itu. Maka akan mencungaplah orang seperti itu mencari di mana arahnya presint 2 itu sama ada mencungap keletihan berjalan atau mencungap keletihan bertanya. Itulah, walaupun Perbadanan Putrajaya ini orangnya cerdik pandai tapi kadang-kadang fail juga dalam hal sekecil-kecil ini. Jadi bijak amatlah rakan-rakan pengantin kita yang memacak tanda arah majlis kenduri mereka berlansung, kerana walaupun majlis itu terhad kepada jemputan serta yang mengenali mereka sahaja (tidak besar, hebat dan gah seperti Floria) namun jemputan bisa sampai dengan mudah.
Ramai sungguh umat hari itu dan ramai juga umat yang mengandar DSLR. Nampaknya kamera besar gajah itu bukan lagi sesuatu yang asing sekarang ini. Harapnya satu masa nanti tak ada lagi yang mengaitkan mereka yang mengandar kamera besar gajah ini sebagai wartawan mana-mana sokkoba baik tamil nesan mahupun tamil nanban. Ramainya umat sampai jadi tak ‘seleso’ pulak nak mem beng beng!
Pameran yang menarik adalah yang terletak di luar dewan terutamanya berhampiran kawasan tasik. Namun cuaca apabila semakin menjangkau tengahari panasnya begitu membara dan begitu terasa. Keringat mencurah umpama hujan membasahi bumi (perghh sastera beb). Turunnya lebat membasahi bumi yang merekah…(perghh lagi…). Jadi tak larat rasanya hamba nak meneruskan kembara walaupun ada lagi tempat yang belum dilawati. Sebagai ketua rombongan, hambapun menyusun barisan kembali menuju ke mobil hitam. Tekak dahaga dan perut mula menyanyi. Tak apa hamba akan isi permintaannya di rumah mak sedara nanti.
| Quote: | Hati ini bukan lagi panas membara tetapi telah terbakar menyala marak menggila. 3 manusia dari puak yang sama bagaikan bergilir menghina agamaku yang suci. Kenapa begitu kurang ajar sekali manusia ini. 3 orang manusia ini jika dilihat seperti mahu menjadi pemimpin yang hebat, namun tiada kehebatan sama sekali apabila mereka amat kurang ajar ke atas agamaku. Sampai berdarah mulut mereka minta maaf sekalipun diri ini tidak akan memaafkan kekuranghajaran mereka itu. Hanya jika mereka menerima agamaku secara total sahaja baru dapat ku pujuk hati yang lara ini. janganlah daku berjumpa salah satu makhluk ini di mana-mana. Daku khuatir jika ada mana-mana tangan atau kakiku yang hinggap di mana-mana bahagian lembut tubuh makhluk almghdhubi ‘alaihim wala addhallin itu…..
Kau bukan lagi bermain dengan api, kau bahkan telah memarakkan apinya. Api itu akan membakar dirimu juga nanti! |
|
|
|
|
|
|
| Friday, 7-Aug-2009 12:39 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Pabila Ingatan Melayang Ke Masa Silam
|
|
Gambar hiasan : Replika Aleppo Citadel, Syria di Taman Tamaddun Islam
Hari ini saya tergerak untuk meninjau beberapa blog pelajar Malaysia di Maghribi. Rata-rata tulisan mereka adalah mengucapkan selamat tinggal kepada bumi tempat mereka menuntut ilmu itu memandangkan mereka telahpun menamatkan pengajian. Tentunya cabaran yang akan dihadapi selepas ini lebih besar, lebih-lebih lagi jika mereka memilih untuk terjun ke pasaran pekerjaan. Satu cabaran besar buat mereka memandangkan di negara kita peluang pekerjaan untuk graduan agama tidaklah sebesar bidang-bidang lain. Namun saya suka menasihatkan mereka bahawa tidak semestinya belajar ilmu agama itu akan berakhir dengan bidang pekerjaan dalam bidang itu juga. Mereka perlu berani untuk mencuba bidang lain, manakala ilmu agama yang mereka pelajari itu pula menjadi pelengkap kepada bidang yang baru itu. Maknanya ilmu agama itu akan memandu mereka melakukan perkara yang baru namun masih berpandukan kepada syariah. Umpama bidang kewangan, selama ini cukup sinonim dengan pelbagai sistem yang dicipta oleh barat namun akhir-akhir ini berjaya 'diIslamkan' walaupun tidak sepenuhnya. Dan percayalah jika mereka ini tidak memilih untuk menjadi guru agama di sekolah, lapangan dakwah yang mereka akan ceburi di bidang lain itu akan lebih besar lagi dan mencabar. Ini kerana jika mereka memilih untuk terus berada di dalam kelompok yang sama mereka tidak akan ke mana kerana masih bersama yang sealiran. Namun jika mereka berani keluar, barulah mereka akan menghadapi cabaran dakwah yang sebenarnya dan akan lebih dekat dengan masyarakat di sekeliling.
Ucapan selamat tinggal mereka itu membawa kenangan saya ke tahun 1997 apabila pesawat Royal Air Maroc semakin meninggi meninggalkan Aeroport Mohamad V. secara tiba-tiba hati saya menjadi sebak dan mata menjadi berkaca. Secara perlahan saya ucapkan selamat tinggal kepada bumi tempat saya menuntut ilmu itu, bumi yang banyak berjasa memberikan ilmu kepada insan kerdil dari Malaysia ini. Kesedihan ini amat terasa kerana saya tahu amat sukar untuk saya kembali semula ke sana, hanya masa dan takdir yang akan menentukan.
Dan saya tahu selepas itu saya akan berhijrah ke jihad yang lebih besar....
|
|
|
|
|
|
| Tuesday, 4-Aug-2009 00:48 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Bayangkan Yang Kotor....
|
|
 |
|
Perut aku ada filter, tak perlu makan pakai pinggan...
|
|
|
Sesuatu yang amat pasti – kita semua amat sukakan kebersihan dan benci kepada kekotoran. Cuma yang tak berapa sedapnya segelintir kita hanya sukakan kebersihan itu ada pada dirinya sahaja dan tidak pada yang lain. Tak faham maksud saya, mari kita teruskan lagi. Contoh paling mudah adalah kita tak suka dalam kereta kita kotor. Sakit betul mata bila melihat ada tisu, pembalut gula-gula, bekas air kotak terdampar cantik di atas karpet atau kerusi kereta. Maka tindakan pembersihanpun diambil. Segala sampah itupun diambil lalu dicampakkan keluar dari kereta ke luar. Maka kereta itupun menjadi bersih setelah sampah sarap itu dipindahkan ke luar atau kebiasaannya di jalan raya. Tentu kita biasakan melihat di jalan raya apabila sesuatu terbang keluar dari kereta di hadapan kita. Paling biasapun puntung rokok.
Orang biasa merungut tandas awam, tandas di masjid selalu kotor. Bau hancing, tahi terpalit sana sini, pelbagai tulisan dan lukisan kreatif di dinding dan paip air yang rosak. Yang selalu kena sound baek punyo adalah penjaga tandas, siak/noja masjid dan surau. Mereka pula yang dilabel tak tahu menjaga kebersihan. Cuba duduk dan fikirkan dengan akal yang waras siapakah yang sebenarnya menggunakan tandas-tandas ini. Tak lain dan tak bukan adalah orang-orang biasa seperti kita. Yang mengotorkan tandas ini bukan penjaga tandas ataupun sang siak. Ada manusia yang selesai menggunakan tandas tak reti nak pam atau mencurahkan air setelah selesai menabur dan melabur. Sambil melabur capai pula pen untuk update blog di dinding dan pintu tandas. Yang peliknya di bilik air rumah sendiri pandai pula tak buat benda-benda semua tu. Pandai pula jirus air selepas digunakan. Tak selesa pula dengan bau yang kurang menyenangkan. Tetapi kenapa bila tiba pada bab kemudahan yang digunakan bersama segala sifat baik dan mulia ini hilang begitu sahaja. Maknanya dalam diri kita ini segala sifat baik itu ada tapi kita hanya gunakan untuk kepentingan diri kita sahaja. Jadi cubalah keluarkan sifat baik itu untuk barangan kegunaan bersama.
Dalam tahun 1998 saya terlibat sebagai panel penganugerahan masjid terbaik sempena Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan. Paling saya suka adalah masuk ke tandas. Ini kerana saya tahu pada hari seperti ini sahajalah tandas di masjid amat bersih dan come sekali, siap dengan pewangi lagi. Jadi sahabat-sahabatku, sama-samalah kita siram selepas guna ye.
Kita semua minum air setiap hari. Manusia boleh hidup tanpa makanan selama beberapa hari tapi tidak tanpa air. Biar tak mandi janji boleh melepas dahaga. Kita tahu air ini dari mana sumbernya dan kita juga tahu beberapa sumber yang memberikan air ini ada yang telah mencapai peringkat mati. Ada kilang, tempat penternakan yang didirikan disebelah sumber air ini melepaskan dengan selambanya kotoran dan buangan tempat mereka ke dalam sumber ini sekaligus mencemarkannya. Maka kita yang terasa nak bermandi manda pada hari ini terpaksalah pula masuk jauh ke dalam hutan untuk mencari punca yang bersih. Seronok dan penat mandi manda di punca yang bersih ini tambah hangat bila ada makan-makan. Dah makan, segala bungkusan itu buat-buat lupa pula nak ambil. Bawak balik karang kotor pulak kereta. Pikir kotor kereta dia aje. Ada jugak bungkusan makanan atau minuman ini dilepaskan saja ke adalam air, seronok agaknya tengok menda tu berjalan macam perahu. Denda kepada orang sebegini tidak sesekali akan menginsafkan kerana mereka ada duit dan mampu membayar. Denda yang paling chantek sekali adalah menyalurkan air kotor itu ke paip rumah dan perusahaan mereka untuk tempoh tertentu. Barulah ketika itu individu ini tahu betapa berharganya air yang bersih itu. Kejam? Tak adalah. Mereka yang buat kekotoran ini lebih kejam lagi kerana melibatkan kepentingan awam yang pastinya lebih ramai berbanding individu. Tak pasal-pasal kita hari ini terpaksa beli filter air yang harganya beribu ringgit. Kita tak perlu beli kalau sumber air itu bersih. Tak boleh nak bayangkan satu hari nanti kita yang bernama manusia ini terpaksa berjalan di luar sana dalam satu sut khas untuk filter kekotoran udara…..kek mano laei ekau nak pindah jang oiii!
|
|
|
|
|
|
| Saturday, 1-Aug-2009 00:45 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Berdiri Menupang Kaki
|
|
Kadang-kadang bosan juga dengan rutin seharian. Pagi-pagi dah keluar rumah nak mengelakkan jem, itupun masih kena memandu hampir sejam walaupun jarak antara rumah dan pejabat cuma 39km sahaja. Pastu dok kat opis mengadap benda yang sama sampai petang. Balik ke rumah, harung sejam lagi atas jalan (membazir betul hidup berejam kat atas jalan aje setiap hari). Sampai rumah biasanya lebih dari jam tujuh. Ada beberapa jam sahaja lagi untuk tidur yang masa sebelum itu dibahagikan pula untuk anak, isteri, surau dan membaca/edit gambar/layan fotopages (kalau ada masa). Lepas tu masuk tido dan esoknya perkara yang hampir serupa berulang. Hati kekadang merintih sayu bila mengenangkan masa yang terlalu sedikit diluangkan untuk anak-anak. Nak pergi surau pun serba salah sebab biasanya bila balik semuanya dah tido. Tak pegi surau nanti tak bermasyarakat pula kita. Haritu ada buat permohonan untuk buat Master. Bila penemuduga tanya apa tujuan nak buat master, saya terus terang nak luangkan masa bersama keluarga. Saya jelaskan ini jawapan jujur saya, saya tak mahu menipu dengan memberikan alasan saya nak sambung belajar kerana bla la bla nak tambah ilmu bla la bla nak buat kajian untuk jabatan bla la bla…..dan saya tahu bukan itu jawapan yang bijak dan sepatutnya. Tapi sebelum memasuki bilik temuduga lagi saya dah nekad untuk beri jawapan iu walaupun ia bukan satu tindakan yang bijak, sekadar mahu melihat bagaimana respon penemuduga bagi sebuah jawapan yang jujur. Dan saya berjaya……….berjaya untuk gagal. Kerana ini saya juga nekad tidak akan membuat apa-apa permohonan lagi….
Bila camni terasa kerjaya guru tu memberi banyak kelebihan terutamanya masa untuk bersama keluarga. Saya dulu dah dapat tawaran untuk buat diploma pendidikan di UKM. Serba salah betul rasanya nak terima. Walaupun temuduganya saya harungi dengan penuh kesungguhan sampai kena bercakap Arab dengan penemuduga tapi hati saya ketika itu masih berbolak balik sama ada ingin mejadi guru ataupun tidak. Akhirnya saya nekad tidak melaporkan diri dan jadilah saya seperti apa yang terjadi pada hari ini.
Menyesal??? Taklah. Kita mana boleh menyesal dengan apa yang kita telah pilih. Hidup mesti diteruskan.
…..ya hidup mesti diteruskan….
|
|
|
|
|
|
| Monday, 27-Jul-2009 22:32 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Apabila Tiba Ke Umur Itu
|
|
Rasulullah menyeru kita agar mengajar anak-anak bersolat apabila umurnya mencapai tujuh tahun. Apabila dah sampai 10 tahun dan degil juga maka bolehlah dirotan. Sebagai bapa timbul juga kekhuatiran seandainya saya gagal melaksanakan perintah ini. Mengajar anak-anak bersolat bunyinya macam mudah, tetapi bila dah alami sendiri hidup sebagai ketua keluarga campur sebagai ketua jabatan, sibuk di sini sana, baru tahu betapa sukarnya untuk memulakan pendidikan itu. Namun syukurlah sistem pendidikan hari ini memudahkan saya dan isteri untuk mendidik anak-anak bersolat. Bermula dengan pendidikan di tadika yang mengajar sedikit sebanyak tentang solat sehinggalah apabila mula memasuki darjah satu di sekolah kebangsaan dan sekolah agama yang menguatkan lagi apa yang telah dipelajari. Sekali lagi saya berterima kasih kepada pihak-pihak yang menyediakan silibus pelajaran agama di sekolah pada ketika ini. Meneliti kertas-kertas ujian dan peperiksaan yang dijalani Majidah di tahun satu ini saya mendapati apa yang disoal adalah begitu tinggi tahapnya bagi pelajar tahun satu berbanding dengan zaman saya belajar darjah satu dahulu. Begitu juga dengan pengajaran Bahasa Arab. Saya dapati apa yang dia pelajari sekarang ini hanya saya ketahui apabila berada dalam tingkatan satu atau semasa berumur 13 tahun. Syukurlah dalam usia begini, anak-anak ini sudah mula mengenal tikar sembahyang, tahu membaca doa yang pendek-pendek, telah boleh mengaji Al-Quran dan membaca tulisan jawi dengan lancar.
Terima kasih kepada sistem pendidikan negara!!
|
|
|
|
|
|
| Thursday, 23-Jul-2009 01:18 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Road To LISRAM pt 2
|
|
Alhamdulillah pertandingan menembak yang diadakan di LISRAM pada Ahad lepas berlansung dengan baik tanpa sebarang kemalangan yang tidak diundang. Ouled Kenitra seperti tahun yang lalu masih lagi pulang dengan kehampaan. Wilayah Selatan (WILSEL) hanya mampu membawa pulang hadiah tempat kedua pertandingan menembak plate M-16. Dikhabarkan pertandingan akhir itu cukup sengit apabila kedua-dua pasukan masing-masing cuma tinggal satu lagi plate untuk dijatuhkan dan pasukan lawan dapat menjatuhkan plate terakhir mereka dalam beberapa detik sahaja daripada pasukan WILSEL.
Menilai penganjuran kali ini oleh Wilayah Utara, ramai berpendapat penganjuran oleh Wilayah Timur pada tahun lalu masih lagi yang terbaik. Ini kerana perjalanan pertandingan tahun lepas cukup smooth dan selesai menjelang tengahari. Berbanding kali ini pertandingan berlanjutan sehingga ke jam 4 petang. Seorang sahabat yang turut serta merungut, katanya beliau datang pada awal pagi dengan penuh semangat untuk menembak tetapi makin luntur apabila hanya berpeluang setelah waktu beranjak ke petang. Perasaan hampa juga dirasakan apabila peserta tidak dibenarkan untuk melihat target masing-masing untuk melihat secara dekat tembakan yang dilepaskan. Sudahlah begitu saya juga tidak mengetahui markah yang diperolehi kerana tidak dipaparkan di scoreboard.
Rata-rata ahli pasukan WILSEL dilihat kurang ‘menjadi’ pada hari tersebut berbanding hari latihan. Mungkin juga kerana semasa latihan peserta hanya berpeluang berlatih dalam jarak 20m sedangkan pada pertandingan sebenar adalah 25m. Saya sendiri sukar untuk menembak dalam jarak sejauh begitu kerana hanya biasa berlatih dalam jarak 10m dan 15m.
Walaupun peserta dibahagikan mengikut kategori yang ditetapkan, saya berpendapat perlu diwyjudkan satu lagi kategori iaitu kategori ‘pemegang pen’. Ia adalah kategori khusus untuk mereka yang bukan anggota beruniform yang hanya bekerja di pejabat. Adalah tidak seimbang apabila terpaksa bertanding dengan mereka yang telah biasa menggunakan senjata. Kadang-kadang terasa muak juga apabila melihat muka yang sama menyertai begitu banyak kategori. VIP dia sapu, Tim MAHSURI dia sapu, jemputan pun dia masuk, ketegori APMM pun ada, hmm ambiklah semua hadiah tu.
Apapun peluang ini merupakan satu kesempatan untuk mengenali teman-teman di wilayah yang lain. Kesempatan begini sahajalah yang membolehkan kami berkenalan memandangkan saya tidak mempunyai forum lain seperti mesyuarat untuk bertemu dengan mereka. Asyik-asyik bermesyuarat dengan orang wilayah sendiri sahaja. Dulu ada juga mesyuarat di peringkat tinggi ni tapi bila orang lain ambil alih ia tidak diteruskan lagi. Mungkin baik untuk mereka kerana tak perlu dengar suara orang daerah yang sentiasa lantang ni tapi dari satu segi mereka yang di atas sana tidak tahu apa permasalahan sebenar di underground. Teringat saya luahan hati seorang anggota yang membawa saya ke sebuah jeti bagi melihat botnya yang berada dalam keadaan menyedihkan pada satu malam ketika jam sudahpun melangkaui jam 2 pagi, “Encik nanti kalau satu hari dapat duduk di pangkat yang tinggi, tengok-tengokkanlah kami yang di bawah ini”. Beliau bercakap dengan suara penuh sebak dengan mata yang berkaca. Dan suara itu masih menerjah gegendang telinga saya sehingga ke saat ini.
Terima kasih kepada saudara Asri kerana sudi mengambil gambar diriku walaupun tak biasa memegang DSLR, jadilah dari tiada lansung.....!
|
|
|
|
|
|
| Friday, 17-Jul-2009 13:54 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Road To LISRAM 2009
|
|
Selasa dan Rabu lepas saya berada di JB, berlatih menggunakan Glock 19. Esok pagi akan berangkat pula ke Langkawi dan seterusnya bertanding di LISRAM pada hari Ahad. Sekali lagi tahun ini saya akan mewakili Wilayah Selatan (WILSEL) dalam pertandingan menembak APMM. Berbanding tahun lalu, tahun ini ditambah pertandingan satu lagi senjata iaitu M-16. Agak sukar pada tahun ini kerana jarak penembakan agak jauh. Untuk Glock 19 adalah 25m dan M-16 adalah 200m. Pada tahun lepas prestasi WILSEL adalah amat buruk sekali. Peserta, termasuk saya sekali, dipilih secara ‘tangkap muat’ memandangkan pertandingan pada tahun lepas diadakan secara tiba-tiba. Pada tahun ini WILSEL mengadakan pemilihan dengan memanggil wakil dari setiap daerah yang bernaung di bawahnya. Dari kesemua wakil ini diadakan pula pemilihan akhir untuk memilih peserta yang layak. Walaubagaimanapun penyertaan saya bukanlah kerana saya hebat namun lebih kepada mengisi tempat dalam kumpulan VIP. Namun itu tidak bermakna saya tidak mahu memberikan tentangan hebat. Tahun lepas sudah pulang dengan tangan kosong. Tahun ini saya berazam untuk memperbaiki kedudukan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada WILSEL kerana member peluang sama rata dari setiap daerah untuk mencuba nasib dalam pemilihan akhir. Dari daerah saya terdapat empat orang wakil termasuk diri saya sendiri.
Sepatutnya pada hari Isnin sudah boleh pulang ke rumah namun terpaksa ditangguhkan ke Selasa kerana ketiadaan tiket kapalterbang. Letih sikit poket nampaknya memandangkan bayaran hotel terpaksa mendahulukan duit sendiri. Satu malam dah RM195.00, kalau tiga malam……adusss, itu tak kira duit deposit lagi. Tak kisahlah, kena anggap itu seperti satu simpanan sebelum dapat menggunakannya pada bulan depan.
Ada geng fotopages di Langkawi? Cari saya kat LISRAM Ahad ni!
p/s Gamba den pegang senapang memang tak ado, cam biasolah nasib seorang kameramen.
|
|
|
|
|
|
| Monday, 13-Jul-2009 12:52 |
Email | Share | | Bookmark |
|
Ouled Berbicara Tentang Kitab Terbaru
|
|
Saya baru sahaja selesai membaca buku bertajuk Iskandar Bukan Zulqarnain tulisan Afareez Abd Razak Al-Hafiz. Keinginan untuk mengetahui tentang Zulqarnain dengan lebih lanjut membuatkan saya membeli buku ini semasa outstation ke Batu Pahat dua minggu lalu. Ini memandangkan Al-Quran sendiri tidak menghuraikan dengan panjang lebar tentang siapakah gerangannya insan hebat yang bernama Zulqarnain ini.
Buku tersebut dimulakan dengan perbincangan tentang beberapa orang Nabi semenjak Adam dengan susur galurnya serta keturunan yang lahir daripada Nabi Nabi tersebut. Termasuk juga tulisan berkenaan beberapa raja silam seperti Namrud, Bukhtanassar (Nebuchadnezzar), Iskandar (Alexander) danKurush (Cyrus). Selepas itu barulah diikuti dengan perbincangan tentang Zulqarnain – adakah beliau insan yang sama dengan Alexander The Great atau berbeza, tembok yang dibina oleh beliau serta ya’juj dan ma’juj.
Walaupun tajuk buku adalah mengenai Zulqarnain tetapi perbincangannya hanyalah mengisi separuh daripada ketebalan buku tersebut dan selebihnya berkenaan Nabi Nabi seperti yang diterangkan tadi. Mungkin penulis boleh menambah lagi tulisannya mengenai karekter Zulqarnain ini. Walau apapun saya berterima kasih kepada penulis yang sudi berkongsi kajiannya dengan khalayak. Memandangkan tidak banyak keterangan berkenaan Zulqarnain, perkara ini adalah terbuka kepada perbincangan dan kajian. Penulis bukan sahaja merujuk kepada Al-Quran dan kitab karangan ulama’ silam tetapi turut merujuk kepada injil dan bahan sejarah dari barat. Saya tak mahu bercerita lanjut mengenai buku ini. Eloklah anda sendiri mencari dan membacanya. Tidak rugi mengeluarkan sedikit wang untuk pengetahuan yang tak ternilai ini.
Selepas ini saya akan membaca sebuah lagi buku yang saya kira cukup menarik dan umpama ada kaitan dengan buku yang dia atas. Buku tersebut adalah Yakjuj & Makjuj, Bencana Di Sebalik Gunung hasil tulisan Muhammad Alexander pensyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia. Yakjuj & makjuj juga merupakan satu topic yang saya tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya. Melihat simbas lalu buku tersebut, ia juga merupakan satu kajian yang mendalam untuk menghuraikan siapakah dia yakjuj & makjuj ini. Saya teruja ingin melihat apakah yakjuj dan makjuj seperti kajian Afareez Abd Razak Al-Hafiz sama seperti Muhammad Alexander. Jikalau hasil kajian kedua mereka bertemu pada titik kajian yang sama, mungkin boleh diterima oleh kita berdasarkan fakta-fakta ilmiah yang ditampilkan.
| Quote: |
Sejak sekian lama, kita mempercayai Iskandar Zulqarnain adalah individu yang hebat dalam sejarah. Beliaulah yang kita namakan Alexander the Great. Namun, kita tidak pernah tahu sama sekali bahawasanya Iskandar dan Zulqarnain adalah dua individu yang berbeza. Benarkah kenyataan itu? Buku ini ada jawapannya. Buku ini dimulakan dengan kupasan mengenai empat raja agung dunia purba mengikut turutan sejarah hidup mereka iaitu Raja Namrud, Nabi Sulaiman, Raja Bukhtanasar dan Zulqarnain. Ketiga-tiga raja pertama dipanggil dan diketahui dengan nama mereka sendiri sedangkan Zulqarnain pula adalah satu gelaran yang disandarkan kepada beberapa tokoh hebat termasuklah Raja Iskandar (Alexander). Siapakah mereka? Bilakah mereka memerintah? Siapakah yang dahulu dan siapa pula yang datang kemudian? Diskusi di dalam buku ini membantu anda bagi lebih memahami sejarah silam. Namun, di sebalik segala persoalan itu, yang lebih penting adalah persoalan, adakah sesuai jika disandarkan gelaran Zulqarnain kepada Raja Iskandar?
Quran menceritakan mengenai ciri-ciri Zulqarnain yang mana jika dikaitkan dengan sejarah hidup Raja Iskandar, ia adalah bercanggah. Buku ini memuatkan perbincangan serta hujah-hujah yang sesuai bagi mengaitkan tokoh yang paling hampir dan sesuai dengan gelaran Zulqarnain. Bukti hidup daripada peninggalan Zulqarnain adalah tembok yang dibinanya bagi menghalang Yakjuj Makjuj. Siapakah mereka ini dan siapakah yang mereka kacau sehingga Zulqarnain membina tembok serta di manakah tembok itu? Perbincangan ini dan lain-lain lagi ada di dalam buku ini. Jangan lepaskannya.
Prakata
Pendahuluan
Pengenalan
Bab 1: Raja Namrud
Sejarah Sebelum Kedatangan Raja Namrud
Pemerintahan dan Latar Belakang Raja Namrud
Kaitan Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim
Nabi Ibrahim (sekitar kurun ke-22BC hingga 19BC)
Nabi Ismail dan Penempatan di Mekah
Pembinaan Kaabah
Nabi Lut
Peristiwa Penyembelihan Nabi Ismail
Nabi Ishak
Nabi Ishak dan Keturunannya
Nabi Yaakub
Perkahwinan Pertama Nabi Yaakub (dengan Liah)
Perkahwinan Kedua Nabi Yaakub (dengan Rachel)
Zuriat Nabi Yaakub dan Pembinaan Masjid al-Aqsa
Nabi Yusuf (antara kurun ke 21BC dan ke 17BC)
Bab 2: Raja (Nabi) Sulaiman (sekitar 1000BC hingga 928BC)
Nabi Musa (antara kurun ke 16BC hingga ke 13BC)
Al-Baqarah
Nabi Musa dan Nabi Khidhir
Nabi Yushwa’ bin Nun
Nabi Syam’un
Nabi Daud (sekitar 1030BC hingga 970BC)
Kejatuhan Kerajaan Raja (Nabi) Sulaiman Buat Seketika
Kewafatan Nabi Sulaiman
Bab 3: Raja Bukhtanasar (sekitar 625BC hingga 562BC)
Harut Marut
Mimpi Bukhtanasar
Takwil Kepala Emas
Takwil Dada dan Tangan Perak
Takwil Perut dan Peha Gangsa
Takwil Dari Lutut Hingga ke Buku Lali Besi
Nabi U’zair
Bab 4: Perbincangan Iskandar bukan Zulqarnain
Siapa itu Raja Iskandar? (356BC hingga 323BC)
Asal-usul timbulnya cerita Zulqarnain
Siapakah Raja Kurush? (576BC hingga 530BC)
Ciri-ciri Zulqarnain:
Perjalanan ke Arah Barat
Menerima Wahyu
Perjalanan ke Arah Timur
Pembinaan Tembok
Hujah Pertama
Hujah Kedua
Hujah Ketiga
Yakjuj Makjuj
Siapa yang Diganggu oleh Yakjuj Makjuj?
Akhir kata
Raja Leonidas I
Penutup
Nota Hujung
Bibliografi
Sebelum kedatangan Nabi Muhammad pada tahun 570AD, datang Nabi Isa lebih kurang 570 tahun sebelumnya. Pengiraan kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya adalah BC yang bermaksud ‘before Christ’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi ini, kiraannya adalah terbalik berbanding dengan zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal dari perkataan Latin Anno Domini bermaksud tahun Masihi.
Contohnya, sekarang adalah tahun 2007AD, maka tahun lepas adalah 2006AD dan tahun hadapan adalah 2008AD, sedangkan bagi tahun sebelum Masihi pula, sekiranya sekarang ini adalah tahun 100BC maka tahun sebelumnya adalah 101BC dan tahun hadapannya pula adalah 99BC. Secara umumnya, perkataan purba di sini bermaksud zaman sebelum kedatangan Nabi Isa.
Akibat daripada pendedahan kepada pembacaan serta kajian berterusan yang menyumbang kepada pengumpulan maklumat-maklumat baru, sejarah sentiasa ditulis semula berulang kali terutamanya mengambil kira daripada perspektif yang berbeza. Contohnya peristiwa perang dunia pertama dan kedua masih lagi ditulis sehingga hari ini. Bahkan catatan Kisah hidup Nabi Muhammad pun masih banyak lagi ditulis, diterbitkan dan dikemas kini bagi kefahaman pembaca.
Bagi lebih memahami konteks perbincangan utama dalam buku ini serta fakta berkaitan Raja Zulqarnain yang sebenarnya, kita perlu mengimbas kembali sejarah silam menurut turutan secara ringkas.
Sepanjang sejarah manusia menghuni muka bumi ini, silih berganti raja-raja yang memerintah. Walau bagaimanapun yang sering disebut adalah empat raja yang hebat dan berjaya menakluki sebahagian besar muka bumi ini pada zaman mereka masing-masing. Namun tidak dinafikan terdapat juga raja-raja yang lain yang tidak kurang hebatnya. Namun, perbincangan ini difokuskan kepada empat raja utama yang menjadi bahan diskusi, perbualan dan pengajaran. Kisah mereka mungkin disampaikan dari mulut ke mulut di dalam budaya kita ataupun sedikit sebanyak diperbincangkan di institusi pendidikan sedia ada.
Dua daripada mereka di dapati beriman dan dua yang lain pula tidak beriman. Tidak asing lagi, dengan mengikut turutan berdasarkan zaman pemerintahan, empat raja itu adalah:
Raja Namrud – tidak beriman, dikenali dengan pembinaan Menara Babel dan dikaitkan dengan penentangannya kepada Nabi Ibrahim.
Raja (Nabi) Sulaiman – beriman, bahkan adalah seorang Nabi utusan Allah serta mewarisi kerajaan ayahnya iaitu Nabi Daud.
Raja Bukhtanasar – tidak beriman, menakluki kerajaan yang pernah dipimpin oleh Nabi Daud dan Sulaiman dan membawa orang-orang Yahudi ke Babylon sebagai hamba abdi.
Raja Zulqarnain – beriman, uniknya adalah raja-raja yang lain dipanggil dengan nama mereka masing-masing tetapi raja ini dengan gelarannya |
| Quote: |
Persoalan Yakjuj dan Makjuj masih diselimuti oleh kabus misteri. Kitab-kitab Samawi yang diturunkan dari langit seperti Taurat, Injil dan al-Quran, masing-masing menyebut mengenai Yakjuj dan Makjuj. Al-Quran menceritakan tentang sifat dan peristiwa Yakjuj dan Makjuj dengan Zulkarnain dengan huraian penceritaan yang sempurna.
Buku ini membongkar bangsa yang membawa huru-hara kepada dunia dengan berdasarkan huraian kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Dimuatkan dengan imej, peta, ilustrasi, carta masa. Menjadikan buku ini antara yang terlengkap dalam sejarah.
Daftar Isi
Kata Pengantar
Bab 1: Inskripsi Yahudi: Sebuah Pengantar
Kenapa kita perlu menelusuri Yakjuj & Makjuj dalam Inskripsi Yahudi?
Inskripsi Yahudi dan Latar Belakang Pembentukannya
Septuagint: Perjanjian Lama
Inskripsi karya Flavius Josephus
Naskah Laut Mati ’The Dead Sea Scrools’
Talmud
Carta Timeline Talmud
Timeline Inskripsi Yudaisme
Analisis eksplorasi Sinkronik – Diakronik tentang Yakjuj dan Makjuj
Usaha mengaburkan identiti bangsa Gog Magog
Usaha mencemarkan nama baik Nabi Ishaq
Hubungan kait Kristian Ekstrem dan Zionis yang meletakkan posisi Gog Magog sebagai gabungan negara Islam
Bab 2: Suara-suara dari Padang Gurun tentang Zulqarnain danYakjuj & Makjuj
Latar belakang Pertanyaan pendeta Yahudi tentang Zulqarnain kepada Nabi Muhammad.
Senandung Padang Gurun tentang Muhammad
Daud menyebutnya sebagai ”Adonai”
Percakapan Yahya dengan pendeta Yahudi tentang ”Nabi yang Akan Datang”
Isa menyebutnya ”Terang yang Besar”
Daniel menyebut Muhammad sebagai ”batu yang meremukkan patung”
Muhammad, Benang Merah senandung para nabi
Orang-orang Yahudi rela tinggal di padang Paran
Nabi Jeremiah (Aramia) menyebutnya ”Ehmed”
Talmud Babilon menyebutnya ‘Emeth’
Yakjuj & Makjuj dalam sumber Islam
Yakjuj & Makjuj di dalam al-Quran dan Tafsir
Seputar Asbabun Nuzul (Sebab-sebab Turun Ayat)
Epistemologi bijak yang dikongkong oleh kesombongan
Adakah “bangsa yang buta huruf” mampu membaca kisah Alexander?
Sifat Zulqarnain
Orientalis & Evangelis, Perompak teriak Pencuri
Kisah Zulqarnain adalah Plagiat?
Siapakah Callisthenes ?
“Kambing Jantan Bertanduk Dua” dalam Kitab Daniel
Sifat Yakjuj & Makjuj di dalam Tafsir Qur’an
Sifat Yakjuj & Makjuj
Profil Yakjuj dan Makjuj dalam sumber-sumber Hadis Islam
Bab 3: Genealogi Yakjuj Makjuj dalam Inskripsi Yahudi
Di dalam Bible, Yakjuj dan Makjuj disebut Gog dan Magog
Garis Keturunan Yakjuj Makjuj dalam Yahudi
Magog dalam Talmud
Scythia Yakjuj Makjuj di dalam buku Josephus, “Antiquities of the Jews”
Scythia Yakjuj Makjuj di dalam buku Josephus, ’’Jews Wars’
Al Qur’an bebas daripada unsur Plagiat
Josephus Menggunakan Bahasa Yunani
Bahasa Yunani baru dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Arab pada abad 9 M
Scythia Yakjuj Makjuj di dalam buku Josephus, ’The Apions’
Scythia Yakjuj Makjuj di dalam Perjanjian Baru
Magog di dalam Inskripsi Gulungan Laut Mati
Lokasi Gog Magog Scythia
Nama Gog Magog
Bukti Kisah Yakjuj dan Makjuj di dalam Al Quran bukan plagiat daripada kitab sebelumnya
Bab 4: Gerombolan Nomad Scythia adalah Gog Magog
Tafsir al-Quran Yusuf Ali: Scythia adalah Yakjuj Makjuj
Kesalahan Evangelis dan Zionis: ’Scythia’ daripada nama ’Isaac’
‘Gog’ dalam inkripsi Cylinder Ashurbanipal Assyria
Suku Scythia adalah suku pertama yang berhasil menjinakkan kuda
‘Scythia’ bererti Kuda?
Menjejak serapan kata GOG atau JUJ dalam bahasa Inggeris dan Jerman
Kebiadaban bangsa Yakjuj Makjuj Scythia
Lokasi Kediaman Bangsa Yakjuj Makjuj Scythia
Bukti Akeologi Bangsa Yakjuj Makjuj Scythia mendiami di Utara (Eurasia)
Timeline Gerombolan Barbar Scythia
Raja-raja Scythia
Lokasi Kediaman Scythia menurut Peta Kuno Yunani
Saudara sebangsa Scythia adalah suku Xiongnu, Hun, Mongol, Tartar
Lagu ‘Scythian Tribe’
Republik Sacha: Munculnya negeri Scythia Moden?
Bab 5: Sejarah Timur Tengah dan Yahdudi serta peranan bangsa Barbar Scythia
Menelusuri jejak bangsa Yakjuj dan Makjuj Scythia dalam Sejarah Timur Tengah
Timeline Timur Tengah dan Sejarah Bani Israel serta hubung kait dengan Yakjuj & Makjuj Scythia
Peta Kekuasaan – Kekuasaan di Fertile Crescent – Timur Tengah tahun 700-550 SM
Sinkronik-Diakronik Peradaban Timur Tengah tahun 700-550 SM
Tempoh Serangan Yakjuj Makjuj Scythia
Bab 6: Serangan Yakjuj & Makjuj ke Kerajaan Hitti di Urartu 743 SM
Ekspedisi Assyria Memerangi Yakjuj Makjuj Scythia
Suku Barbar Scythia dan Cimmeria bersaing menakluk Urartu
Yakjuj & Makjuj Menerobos Pegunungan Kaukasus
‘Rab Kisir Gimirai’ pasukan khusus Yakjuj Makjuj Cimmeria
Jalur sempit keluarnya Yakjuj & Makjuj Scyhtia & Cimmeria
Darial Gorge (Ngarai Darial) dan Caspian Gates
Yakjuj Makjuj Cimmeria menjadi perajurit upahan Kerajaan Assyria
Kerajaan Scythia di Urartu tahun 700 SM
Bab 7: Serangan Yakjuj & Makjuj ke Samaria, Ibu kota Kerajaan Israel Utara tahun 721 SM
Zaman Keemasan Israel
Kerajaan Israel berpecah-belah
Israel melanggar janjinya sendiri, Mulai menyembah berhala patung-patung.
Pembuangan Suku Israel
Serangan Yakjuj Makjuj Cimmeria ke Samaria tahun 722 SM sebagai Hukuman Allah
Penaklukan Raja Sargon II dalam Inskripsi Assyria
Para nabi yang mengingatkan kerosakan akidah kerajaan Israel
Bab 8: Serangan Yakjuj dan Makjuj ke Niniwe Assyria tahun 612 SM
Niniwe, Ibukota Kerajaan Assyria
Faktor-faktor Pendorong pemberontakan Nabopolassar terhadap Assyria
Faktor-faktor Penarik pemberontakan Nabopolassar terhadap Assyria.
Raja-raja Assyria dan Tempoh Kepemimpinannya
Sejarah Empayar Assyria
Kronologi berbaliknya Yakjuj Makjuj Scythia daripada pendukung setia Assyria, tiba-tiba berubah menjadi pemberontak Assyria.
Cyaxares menjamu pasukan Scythia hingga mabuk, kemudian membunuhnya
Ultimatum Raja Cyaxares I dari Media terhadap bangsa Yakjuj Makjuj Scythia
Pasukan berkuda Media dan Scythia bergerak ke Niniwe
Mesir datang menolong Assyria
Kejahatan dan Kekejaman bangsa Assyria
Para Penafsir Bible menutupi peranan bangsa barbar Scythia dalam penghancuran Niniwe
Raja Assyria berputus asa dengan membakar diri dan Istananya
Niniwe pun dijarah dan dibakar oleh Scythia Yakjuj Makjuj
Nabi-nabi Israel yang mengingatkan kehancuran Niniwe
Harta karun Emas suku Scyhtia dari Rampasan di Niniwe
Kesimpulan
Bab 9: Serangan Yakjuj & Makjuj ke kota Jerusalem, Ibu kota Kerajaan Yehuda tahun 587 SM
Yakjuj Makjuj Scythia menyerang Jerusalem
Catatan Herodotus ketika memasuki negeri Yakjuj Makjuj Scythia
Nabi Jeremia pernah tampil di Jerusalem mengingatkan datangnya Gog Magog
Gabungan Scythia dan Babilon inilah ‘Periuk Mendidih dari Utara’
Dan Jerusalem pun merana
Ezra / Uzair memasuki Runtuhan Jerusalem
Scythia, setelah kehancuran Yerusalem
Gerombolan Scythia menghancurkan Babilon
Bab 10: Nabi Yehezkiel memberi khabarkan datangnya Gog Magog
Kesalahan Kronologi Kenabian Israel menjadikan kisah Gog Magog dalam Bibel sulit dipahami
Kelalaian Editor/Penyalin Kitab Yehezkiel
Kronologi Kisah dalam kitab Yehezkiel
Magog dalam Yeheziel adalah bangsa Barbar Scythia
Keaslian Teks Yehezkiel 38 dan 39
Bab 11: Nabi Yunus mengingatkan Kota Niniwe tentang Ancaman Yakjuj dan Makjuj
Nabi Yunus memberitakan tentang Gog Magog
Gerombolan Barbar Scythia keluar dari balik pegunungan Kaukasus
Raja Assyria dan penduduk Niniwe patuh pada Yunus
Kisah Dakwah Nabi Yunus dan Isa
Usaha penyisipan teks
Bab 12: Nahum mendapat penglihatan tentang dekatnya Kehancuran Niniwe
Kehancuran Niniwe sebagai bentuk Murka Tuhan
Bab 13: Amos dan Joel mengibaratkan keluarnya Gog Magog laksana Serangan Belalang
Siapakah Amos?
Bible juga mengumpamakan serangan Yakjuj & Makjuj sebagaimana serangan Belalang.
Bible menyebut Gog adalah Raja Belalang.
Sifat serangan Belalang dalam Bible
Nabi Muhammad mengibaratkan serangan Yakjuj Makjuj seperti serangan belalang
Serangan Belalang di Timur Tengah
Bencana Belalang
Bab 14: Pergelutan Nabi Jeremia Mengingatkan Kebebalan Kaum Israel tentang Bahaya Gog Magog
Siapakah Jeremia?
Malapetaka dari Utara adalah Yakjuj & Makjuj
Alasan Nebukadnezar membawa pasukan Yakjuj Makjuj Scythia
Jeremia diutus bagi mengingatkan tentang bahaya munculnya Yakjuj Makjuj ke atas Jerusalem
Bukti Pendapat Jeremia memberitakan tentang keluarnya gerombolan Yakjuj Makjuj Scythia.
Gelar pasukan Gog Magog yang dipakai Jeremia
Dalam Jeremia, Gog Magog disebut sebagai gandar besi
Bani Israel Judea Jerusalem berlindung pada Mesir
Juj = Gog = Yoke = Joch
Nabi Jeremia dipenjara oleh Bani Israel Yehuda.
Jerusalem hancur secara total
Scythia, setelah kehancuran Jerusalem
Scythia Yakjuj Makjuj menghancurkan Babilonia
Bab 15: Keluarnya Yakjuj & Makjuj Pada Akhir Zaman dalam Inskripsi Yahudi
Keluarnya Yakjuj & Makjuj pada Akhir Zaman di dalan sumber-sumber Islam
Keluarnya Yakjuj & Makjuj pada Akhir Zaman petanda Kiamat sudah dekat
Mungkinkah Sejarah Terulang?
Ramalan keluarnya Yakjuj dan Makjuj (Gog Magog) dalam Inskripsi Yahudi
Ramalan Merajalelanya Gog Magog di dalam Perjanjian Lama
Ramalan keluarnya Magog dalam Talmud Babilon
Perjanjian Baru: Gog Magog sebagai pasukan Iblis yang terlepas.
Bab 16: Jawapan atas Distorsi Evangelis Barat tentang Gog Magog
Pendapat Evangelist dan Zionist tentang Gog Magog
Jawapan atas Distorsi
Hingga detik-detik saat ketika pembaca membaca buku ini, persoalan Yakjuj dan Makjuj masih diselimuti oleh kabus misteri. Kitab-kitab Samawi yang diturunkan dari langit seperti Taurat, Injil dan al-Quran, masing-masing menyebut mengenai Yakjuj dan Makjuj. Al-Quran menyebut Yakjuj dan Makjuj adalah bangsa yang membuat kerosakan di atas muka bumi. Dengan tercatatnya nama Yakjuj dan Makjuj di dalam ketiga-tiga kitab Samawi ini, kehadiran Yakjuj dan Makjuj dalam panggung sejarah dilihat begitu menakutkan dunia.
Banyak buku yang ditulis membahaskan tentang bangsa kejam ini. Isu-isu yang sering persoalan misteri adalah, apakah spesis Yakjuj dan Makjuj itu? Haiwan ataupun manusia? Di mana kediaman mereka? Sejak bilakah kali pertama mereka ditemui? Negeri-negeri manakah yang pernah diserang oleh Yakjuj dan Makjuj? Benarkah mereka akan keluar lagi bagi merosakkan dunia?
Kenapa kita perlu mengkaji Yakjuj dan Makjuj melalui Inskripsi Yahudi?
Sejarah Islam merekodkan sebab turunnya ayat-ayat al-Quran tentang Yakjuj dan Makjuj adalah jawapan balas Allah kepada soalan orang Yahudi Madinah tentang Zulkarnain. Orang Yahudi melalui orang kafir Quraisy Makkah menguji bukti kenabian Muhammad dengan persoalan tentang Zulkarnain.
Allah pun menjawab pertanyaan Yahudi tentang Zulkarnain sekaligus menceritakan cabaran Zulkarnain mengatasi bangsa Yakjuj dan Makjuj. Kisah ini boleh dirujuk di dalam al-Quran surat al-Kahfi ayat 83-98:
83. Dan mereka bertanya kepadamu, mengenai Zulkarnain. Katakanlah, ‘Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya.’
84. Sesungguhnya Kami berikan kepadanya kuasa di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi mencapai tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
85. Lalu ia menurut jalan yang menyampaikan maksudnya.
86. Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum. Kami berfirman, ‘Wahai Zulkarnain! Kamu boleh menyeksa mereka atau kamu bertindak secara baik terhadap mereka.’
87. Ia berkata, ‘Adapun orang yang melakukan kezaliman, kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
88. Adapun orang yang beriman dan beramal soleh, maka baginya balasan baik; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah kami yang mudah.’
89. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
90. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang Kami tidak menjadikan bagi mereka perlindungan darinya.
91. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi segala yang ada padanya.
92. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
93. Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
94. Mereka berkata, ‘Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; Maka setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?
95. Ia menjawab, ‘Kekuasaan yang Tuhanku jadikan daku menguasainya lebih baik; oleh itu bantulah daku dengan tenaga kamu beramai-ramai, aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.’
96. ‘Bawalah kepadaku ketul-ketul besi; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, iapun berkata, ‘Tiuplah dengan alat-alatmu,’ sehingga apabila ia menjadi api berkatalah ia, ‘Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.’
97. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
98. Berkatalah ia, ‘Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku; maka apabila datang janji Tuhanku, Ia akan menjadikannya hancur, dan janji Tuhanku itu benar.
Merujuk kepada gaya pertanyaan pendeta-pendeta Yahudi itu, dapat diduga pengetahuan mereka tentang Zulkarnain cukup mendalam. Oleh subab itu, jejak Yakjuj dan Makjuj perlu diteroka di dalam kitab-kitab Yahudi, adakah di dalamnya dicatatkan kisah Yakjuj dan Makjuj serta Zulkarnain.
Setelah dikaji secara mendalam, ada beberapa perbezaan antara huraian al-Quran dengan Bible tentang Yakjuj dan Makjuj. Al-Quran menyatukan kisah Yakjuj dan Makjuj dengan episod pengembaraan Zulkarnain. Sementara sumber-sumber Bible hanya menceritakan tentang Yakjuj dan Makjuj atau Gog dan Magog sahaja tanpa mengaitkannya dengan kisah pengembaraan Zulkarnain. Kedua, di dalam Bible tidak mengisahkan secara jelas tentang sifat dan peribadi Zulkarnain. Padahal turunnya al-Quran surah al-Kahfi kepada Nabi Muhammad, menjelaskan tentang sifat perlakuan Zulkarnain. Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan orang Yahudi. Logiknya adalah semestinya para pendeta atau Rabi Yahudi cukup kenal tentang sifat peribadi Zulkarnain yang kisahnya terkubur sebelum kelahiran Nabi Isa lagi. Tentu informasi ini bukan sekadar dari mulut ke mulut, bahkan direkodkan secara teks di dalam kitab-kitab Yahudi. Kitab atau inskripsi Yahudi yang dimaksudkan adalah sumber-sumber bertulis kitab-kitab Bani Israel, sebagaimana disebutkan di atas. Di dalam Bible, sama ada di dalam Perjanjian Lama (Old Testament) ataupun Baru (New Testament), tidak dijumpai sedikitpun tentang sifat Zulkarnain. Yang ada di dalam Bible hanya kisah Gog dan Magog.
Peristiwa ini menjadi tanda tanya besar yang memerlukan jawapan. Pada satu sudut, Rabi Yahudi pada zaman Nabi Muhammad adalah orang Yahudi, melalui lidah orang kafir Quraisy, mereka menguji bukti kenabian Muhammad dengan persoalan tentang Zulkarnain, penjelajah dunia yang jarak masanya dengan Nabi Muhammad melangkau ribuan tahun. Namun, pada sisi yang lain, sifat Zulkarnain ini tidak disebut-sebut secara jelas dalam Old Testament dan New Testament. Hal ini menimbulkan persoalan, adakah hanya kerana Zulkarnain bukan daripada keturunan Israel, maka ianya tidak terus direkodkan dan diabadikan dalam inskripsi-inskripsi Yahudi? Suatu hal pelik yang memerlukan jawapan yang tidak mudah.
Terdapat beberapa tujuan dalam eksplorasi inskripsi Yahudi tentang Yakjuj Makjuj, iaitu:
Mengetahui dan memahami teks-teks Yahudi tentang Yakjuj Makjuj
Mengetahui kronologi sejarah bangsa Yakjuj dan Makjuj (Siapakah mereka? di mana lokasi kediamannya? bilakah mereka keluar menyerang)
Mengetahui hubung-kait sejarah antara bangsa Yahudi dengan bangsa Yakjuj dan Makjuj;
Menjawab tuduhan Orientalis dan Evangelis yang menuduh bahwa kisah Yakjuj dan Makjuj dalam al-Quran adalah Perjanjian Lamaagiat dari kitab-kitab Yahudi dan kitab sejarah;
Menjawab tuduhan Orientalis, Evangelis (misionaris) dan Zionis yang menuduh bahwa “Gog dan Magog” atau Yakjuj dan Makjuj adalah bangsa dari negara-negara Islam. |
|
|
|
|
|
|
| Saturday, 11-Jul-2009 04:32 |
Email | Share | | Bookmark |
|
|
|
Semenjak berkursus di Pulau Pinang dulu, maka setia minggu selepas itu ada saja peluang untuk saya outstation. Saya sebut peluang kerana saya sudah amat jarang dapat peluang untuk membuat kerja luar terutamanya dari HQ di Putrajaya, dah masuk cold storage gamaknya saya ni. Tak apa la, orang Putrajaya tak ingat kita, kurang-kurang boss di HQ Wilayah masih bagi sedikit ruang lagi. Selepas Penang, saya berkursus di Melaka, bermesyuarat di Pangkalan Maritim Batu Pahat, Menembak M-16 di KD Sultan Ismail, Tg. Pengelih dan minggu depan berlatih menembak Glock 19 di IPD Johor Bahru dan seterusnya bertanding di LISRAM, Langkawi pada 19 haribulan ini. terima kasihlah kepada HQ Wilayah yang memilih saya untuk bertanding dalam kategori VIP buat kali kedua setelah bertanding di Kuantan tahun lepas. Namun diri ini sedar juga bahawa pemilihan itu bukanlah kerana diri kita terror sangat tapi lebih kepada mengisi tempat yang sedia ada. tapi saya tetap menghargainya, bersyukur serta tidak memandang mudah akan persediaan dan latihan untuk bertanding.
Gambar di atas sebenarnya adalah cover CD album Rock Bunga-Bunga. Bukan saya beli tu, tapi dapat free, memang peraduan di Sinar fm. Ini kali kedua saya dapat hadiah dari Sinar fm tahun ini setelah memenangi sebuah novel pada awal tahun lalu. Lepas tu menang pula peraduan dialog kelakar majalah G3 bulan lepas. Cuma hadiah dialog kelakar tu belum lagi saya terima sehingga entry ini dibuat. Saya sebenarnya jenis yang payah menang peraduan. Selalu sahaja peraduan yang saya sertai tidak sangkut apa-apa hadiah. Jadi bila menang 3 peraduan tahun ini terasa juga seronoknya walaupun hadiahnya tidaklah semahal tempat pertama cabutan sijil simpanan premium. Yang penting setiap ni'mat yang didapati itu diiringi dengan rasa syukur.
|
|
|
|
|